Jul 31, 2010

Ingin Memberi Maklumat?


MAKLUMAT BOLEH DIHANTAR DENGAN CARA :

  1. Datang sendiri ke mana-mana Pejabat SPRM terdekat
  2. Gunakan Laman SPRM http://www.sprm.gov.my
  3. Maklumat melalui SMS
  4. E-mel : info@sprm.gov.my.
  5. Tulis surat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Peti Surat 6000,62007 Putrajaya atau mana-mana negeri (tanpa setem)
  6. Talian bebas tol SPRM 1-800-88-6000

KEWAJIPAN MELAPORKAN PERBUATAN RASUAH
Mana-mana pegawai badan awam yang diberi, dijanjikan, atau ditawarkan, apa-apa suapan dengan melanggar mana-mana peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 hendaklah melaporkan pemberian, janji atau tawaran itu, beserta dengan nama, jika diketahui, orang yang memberikan, menjanjikan atau menawarkan suapan itu kepadanya kepada pegawai SPRM atau pegawai Polis yang paling hampir.

Seksyen 25(1) SPRM 2009

Mana-mana orang yang daripadanya suapan telah diminta atau diperoleh,atau suatu percubaan telah dibuat untuk memperoleh suapan itu, dengan melanggar mana-mana peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2008, hendaklah seawal yang mungkin selepas itu melaporkan permintaan atau perolehan, atau percubaan untuk memperoleh, suapan itu berserta dengan perihalan yang lengkap dan benar dan, jika diketahui, nama orang yang meminta, atau memperoleh, atau cuba memperoleh, suapan daripadanya itu kepada pegawai SPRM atau pegawai Polis yang paling hampir.

Seksyen 25(3) SPRM 2009


PERLINDUNGAN KEPADA PEMBERI MAKLUMAT DAN KANDUNGAN MAKLUMAT
Semua pemberi maklumat kepada pegawai suruhanjaya (SPRM) adalah dilindungi dan tidak boleh didedahkan atau diperintah untuk didedahkan di dalam mana-mana mahkamah. Dalam hal maklumat, segala bahagian yang mengandungi identiti pemberi maklumat hendaklah dihapuskan, disembunyi atau dirahsiakan.

Sek. 65(1) dan (2) SPRM 2009

NKRA:Membanteras Rasuah


Membanteras Rasuah

Persepsi mengenai terjadinya amalan rasuah telah meningkat sejak tahun-tahun kebelakangan ini. Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) di bawah Transparency International (TI) telah menurun daripada tempat 23 pada tahun 1995 kepada 56 pada tahun 2009.

Kos kepada negara akibat rasuah adalah signifikan. Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) menganggarkan bahawa rasuah boleh menyebabkan kos sebanyak RM10 bilion setahun, atau 1-2% daripada KDNK. Dalam membanteras rasuah, kami akan mulakan dengan memberi fokus kepada tiga bidang yang amat terdedah kepada rasuah – badan pengawalseliaan dan penguatkuasaan, perolehan kerajaan dan rasuah besar (termasuk rasuah politik). Selain itu, kami akan menerima-pakai KPI yang berasaskan kepada keberhasilan dan ditanda aras di peringkat antarabangsa.

Sasaran kami adalah untuk meningkatkan skor CPI daripada 4.5 kepada 4.9 menjelang 2010. Kami juga mahu meningkatkan peratusan responden yang menjawab ‘berkesan’ kepada Kajian Global Corruption Barometer TI terhadap tindakan kerajaan dalam membanteras rasuah daripada 28% kepada 37%.

  1. Meraih semula keyakinan terhadap agensi pengawalseliaan dan Penguatkuasaan
  2. Mengurangkan ketirisan dana dalam perolehan kerajaan
  3. Menangani rasuah besar

Tahap pencapaian utama

Pada tahun 2010, rakyat boleh menjangka untuk melihat pendedahan kontrak perolehan kerajaan dalam portal e-kerajaan, penggubalan undang-undang perlindungan pemberi maklumat dan satu akta untuk mendakwa kes-kes rasuah dalam tempoh satu tahun. Tahap pencapaian ini (bersamaan dengan inisiatif mereka) dihuraikan dengan lanjut dalam Bab 7.

Kemajuan awal yang tercapai dalam membanteras rasuah

Walaupun masih di peringkat awal, Kerajaan dan institusi lain telahpun mengambil langkah untuk meneguhkan usaha pembaharuan mereka dalam membanteras rasuah. Contoh termasuk pendakwaan terhadap wakil-wakil rakyat (meliputi semua parti politik) dan pegawai tinggi perkhidmatan awam atas penyalahgunaan dana awam serta penubuhan pasukan khas perkhidmatan awam bagi memeriksa penyalahan urusan kewangan sebagaimana yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara. Selain itu, SPRM telah menyiapkan satu kajian untuk menyekat ruang dan peluang bagi penyalahgunaan dana kawasan dewan undangan negeri dan parlimen oleh Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen. Pada masa ini, SPRM sedang menyampaikan taklimat kepada wakil rakyat tentang cara menguruskan peruntukan mereka dan tatacara yang betul untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan salah guna dana.

Meraih semula keyakinan terhadap agensi pengawalseliaan dan penguatkuasaan

Kami menyasarkan untuk meraih semula keyakinan orang ramai terhadap agensi pengawalseliaan dan penguatkuasaan: PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ini adalah agensi-agensi di bawah Kerajaan Persekutuan yang mempunyai jumlah kes pertuduhan terbanyak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2005 dan 2009 dan mendapat skor terendah dalam persepsi integriti di kalangan komuniti perniagaan dan awam.

Sasaran kami bagi tahun 2010 adalah untuk meningkatkan bilangan kes didakwa berbanding bilangan ditangkap, bagi pengedaran dan pemilikan dadah kepada 80% (daripada peratusan semasa 75%), bilangan saman dibayar berbanding bilangan saman dikeluarkan oleh PDRM kepada 61% (daripada 50%) dan oleh JPJ kepada 78% (daripada 60%). Selain itu, kami menyasarkan untuk meningkatkan bilangan kes didakwa berbanding bilangan ditangkap dan ditahan di bawah Akta Imigresen kepada 60% (daripada 53%), dan cukai diperoleh semula daripada barangan yang diisytihar di bawah harga sebenar kepada RM 21 juta (daripada RM 9 juta).

Untuk mencapai sasaran ini, kami akan memperkukuh dan memperkasakan unit-unit pematuhan dalam setiap agensi penguatkuasaan. Ini temasuklah mengagihkan sumber yang secukupnya kepada unit yang didedikasikan dengan kuasa untuk mengambil tindakan. Unit pematuhan ini akan melaporkan terus kepada ketua agensi penguatkuasaan, dengan satu Suruhanjaya Bebas mengawasi pengurusan dan pengendaliannya. Rangka kerja yang menyokong, termasuk untuk melindungi pelapor, menilai integriti staf dan mengurus ganjaran dan konsekuensi akan juga diwujudkan untuk meningkatkan lagi keberkesanan unit pematuhan.

Selain itu, kami juga akan melaksanakan inisiatif-inisiatif lain yang direka bentuk untuk mengurangkan peluang berlakunya amalan rasuah di kalangan agensi penguatkuasaan. Ini termasuk menginstitusikan penggiliran kerja (job rotation) untuk menghalang pegawai penguatkuasa daripada membentuk hubungan kerjasama dengan organisasi jenayah. Dengan memberi keutamaan untuk memperbaiki prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha membanteras rasuah, kami juga akan mengadakan satu carta liga prestasi bagi semua PBT.

Mengurangkan ketirisan dana dalam perolehan kerajaan

Kami akan mengurangkan ketirisan dana yang diperuntukkan untuk pembangunan nasional dan perbelanjaan operasi selain memastikan ketelusan dalam penganugerahan kontrak. Sararan kami adalah, menjelang tahun 2010, untuk mengurangkan bilangan penemuan audit terhadap salah urus perolehan setiap kementerian kepada 10.6 daripada jumlah 11.2. Inisiatif-inisiatif untuk mencapai matlamat ini termasuk :

  • Menyasarkan untuk mengurangkan secara berperingkat amalan surat sokongan, yang kerap digunakan untuk mempengaruhi kakitangan kerajaan untuk memintasi dasar dan tatacara standard kerajaan dalam mendapatkan kontrak. Matlamat kami adalah untuk menghapuskan amalan ini sama sekali.
  • Mendedahkan secara terperinci semua kontrak perolehan kerajaan dalam lamanweb kementerian dan agensi serta dalam portal e-kerajaan. Ketua Setiausaha atau Ketua Pengarah setiap kementerian akan dipertanggungjawabkan untuk memastikan maklumat perolehan yang terkini dari kementerian/jabatan mereka didedahkan. Maklumat terperinci termasuklah senarai projek perolehan yang dirancang, nama-nama kontraktor yang berjaya, harga kontrak dan tempoh projek.

Menangani rasuah besar

Kami perlu menghalang penyalahgunaan kuasa dan sumber awam oleh ahli politik dan kakitangan kanan kerajaan. Kejayaan kami akan diukur dengan menggunakan kaji selidik awam yang bebas terhadap persepsi mengenai tahap rasuah besar. Selain itu, kami menyasarkan untuk meningkatkan, menjelang 2010, peratusan perbicaraan yang diselesaikan dalam satu tahun kepada 30% daripada 8.5% dan menyenaraikan 84 individu dalam pangkalan data pesalah. Inisiatif-inisiatif kami termasuklah:

  • Menguatkuasakan undang-undang politik sedia ada dan menjalankan satu kajian ke atas pembaharuan dana politik dalam lingkungan Perlembagaan. Kajian itu akan menilai kebolehlaksanaan memperkenalkan pendekatan holistik terhadap pembiayaan yang merangkumi sebuah proses pendedahan yang ditambahbaik, had maksima bagi derma swasta dan pembiayaan awam tambahan.
  • Mengumumkan dasar toleransi sifar dan rangka kerja perlindungan pemberi maklumat (whistleblower).
  • Memperkukuh kebebasan institusi utama termasuk Suruhanjaya PelantikanKehakiman, dalam lingkungan Perlembagaan.
  • Berusaha untuk menyelesaikan pendakwaan kes rasuah dalam tempoh satu tahun, terutamanya kes yang membabitkan kepentingan awam.
  • Menguatkuasakan hukuman yang lebih keras terhadap mereka yang disabit kesalahan rasuah. Ini termasuklah penetapan hukuman minimum dan hukuman yang lebih berat ke atas pegawai perkhidmatan awam yang disabit kesalahan.
  • Membangunkan satu pangkalan data awam yang mengandungi pesalah yang telah disabitkan. Data ini bertindak sebagai pencegah (deterrent) dan mempermudah keputusan pengambilan kerja

Jul 30, 2010

Membezakan Antara Rasuah Dan Hadiah

Daripada Web Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Soalan:

Kepada Dr Asri, saya berniaga tender kerajaan dan ingin memohon penjelasan Dr. Apakah perbezaan diantara rasuah dan hadiah? Kadang kala syarikat saya menghadiahkan sesuatu kepada pegawai yg terbabit sebagai tanda terima kasih walaupun hadiah itu tidak diminta oleh pegawai berkenaan. Adakah ini rasuah atau hadiah? Bagaimana pula jika memberi hamper sempena hari raya? Saya rasa macam kadang kala kita menyembunyikan rasuah dengan perkataan pemberian ikhlas. Harap Dr tolong huraikan.

Farid Ahmad, KL

Jawapan Dr MAZA:

Sikap saudara yang berhati-hati tentang urusan rezeki atau sumber pendapatan dalam kehidupan ini amatlah dipuji. Ini satu tanda adanya nilai kesolehan dalam jiwa. Malang sekali di zaman kini, ramai yang kurang peduli soal halal dan haram hasil pendapatan yang diperolehinya. Soalan saudara asasnya mengenai perbezaan antara hadiah dan rasuah. Persoalan ini dibincang oleh para ulama sejak dahulu kerana bab ini sering disalahgunakan. Ramai yang mengambil kesempatan dengan permainan istilah yang seperti ini. Ada yang cuma menghalalkan rasuah dengan diberi nama hadiah. Saya jawab berdasarkan noktah-noktah berikut:

1. Adanya perbezaan antara rasuah dan hadiah. Rasuah adalah pemberian samada dalam bentuk harta atau manfaat tertentu yang bertujuan untuk memperolehi sesuatu yang bukan haknya, atau menzalimi hak pihak lain. Dalam Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwitiyyah ditakrifkan

“apa yang diberikan dengan tujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan”. (lihat:, 22/220)

Adapun hadiah adalah pemberian atas sebab suka atau sayang tanpa sebarang tuntutan atau ganjaran balas yang disyaratkan. Al-Imam al-Mawardi merumuskan “rasuah apa yang diberikan kerana menuntut sesuatu, hadiah pula apa yang disumbang tanpa sebarang balasan”. Ertinya, pemberi rasuah mengharapkan sesuatu balasan yang dia tidak dapat memperolehinya tanpa sogokan tersebut. Dengan pemberian tersebut menyebabkan ada pihak lain yang dizalimi haknya; samada dihilangkan, atau dikurang, atau dilambat atau aka nada pihak yang dikenakan suatu tindakan yang tidak adil. Maka, rasuah merupakan pemberian bersyarat, sementara hadiah bukan pemberian bersyarat dan tidak menyebabkan kezaliman kepada pihak lain. Rasuah dikeji oleh Islam, sementara hadiah digalakkan.

2. Berdasarkan kepada penjelasan di atas, maka orang yang paling dapat mengesan sesuatu pemberian itu rasuah atau hadiah ialah pemberi itu sendiri. Hanya dia yang tahu bagi setiap pemberian yang dihulurkan. Adakah dia mengharapkan sesuatu pada masa tersebut, atau pada masa hadapan dari pihak yang diberikan, sedangkan apa yang harapkan itu dia tidak layak memperolehinya sedemikian rupa?

Selepas itu, pihak yang mengambil juga amat mengetahui bahawa pemberian itu memberikan kesan kepada urusannya atau tidak. Adakah pemberian tersebut akan menyebabkan dia terasa untuk akan membalas ‘budi’ pihak berkenaan dengan memberikan kepadanya apa yang bukan haknya, atau menzalimi hak orang lain?

Sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat” (Riwayat al-Bukhari).

Juga sabda Nabi s.a.w:

“Kebaikan itu apa yang menenangkan jiwa, sementara kejahatan itu keraguan dalam jantung hati, teragak-agak di dada sekalipun manusia memberi fatwa kepadamu ( ianya baik)” (Riwayat Ahmad dan al-Darimi dengan sanad yang hasan).

Ertinya, sekalipun jika ada yang berfatwa untuk menghalalkan yang salah, nmun jiwa mukmin yang ikhlas akan tetap teragak-agak dan ragu mengenainya. Justeru, jika pemberi dan penerima mempunyai perasaan takutkan azab Allah, mereka sendiri dapat memutus apakah nilai pemberian yang diberi atau diterima tersebut.

3. Ertinya, jika pemberian itu atas dasar persahabatan yang tiada kaitan sama sekali dengan jawatan dan kedudukan yang dipegang, maka itu adalah hadiah. Jika ia diberikan kerana jawatan dan kedudukan yang boleh memutuskan sesuatu hak, maka itu adalah rasuah. Perkara ini pernah diingatkan oleh Nabi s.a.w mengenai pegawai atau petugas kerajaan yang mengambil hadiah yang kononnya diberikan kepada mereka. Sabda Nabi s.a.w:

“Apa jadi dengan pegawai yang kita utuskan, kemudian pulang dan berkata: “Ini bahagian kamu, ini bahagian aku. Silakan dia duduk di rumah ayah dan ibunya, lalu tunggu adakah akan diberikan hadiah kepadanya atau tidak?! Demi Allah, dia (pegawai berkenaan) tidak mengambil sesuatu melainkan pada Hari Kiamat nanti dia akan menanggung pemberian itu atas tengkoknya.” (Riwayat al-Bukhari).

Maka, seseorang penguasa atau pegawai atau petugas hendaklah merenung dirinya, pemberian yang diberikan kepadanya itu mempunyai kaitan dengan jawatan yang dipegangnya atau tidak. Jika ada kaitan yang akan mempengaruhi tindakannya atau akan mengganggu keadilan atau amanahnya, maka itu adalah rasuah. Kesan itu samada secara langsung atau secara tidak langsung. Jika pemberian itu atas dasar sahabat dan kenalan, ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa, dan tiada ruang untuk penyalahgunaan kuasa maka ia dinamakan hadiah. Ini seperti kita memberikan hadiah kepada sahabat kita sekalipun dia seorang pegawai besar dalam sesuatu urusan. Namun pemberian itu bukan kerana atau untuk penyalahgunaan kuasa maka itu dianggap hadiah.

4. Rasuah boleh muncul dalam berbagai bentuk; samada harta atau manfaat tertentu yang diberi atau dijanjikan. Juga dengan rasuah hak pihak lain itu boleh dicemari atau dizalimi dalam pelbagai cara. Ini seperti pemberian itu akan menyebabkan disegerakan urusan kita, sehingga menyebabkan terlewatnya urusan pihak lain. Atau jika dalam bentuk persaingan tender seperti zaman sekarang, pemberian rasuah boleh menafikan hak pihak lain untuk dinilai, atau menghapuskan persaingan yang adil antara pihak-pihak yang terlibat. Rasuah juga boleh menzalimi majikan seperti pegawai mengabaikan kualiti kerja disebabkan habuan yang disuap. Juga rasuah juga boleh menyebabkan ada pihak yang akan dihukum secara tidak adil. Firman Allah: (maksudnya)

“dan janganlah kamu makan (mengambil) harta antara kamu dengan cara yang batil, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan cara dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)” (Surah al-Baqarah, ayat 188)

5. Rasuah atas nama hadiah boleh merosakkan rakyat dan negara. Lihat sahaja negara seperti Mesir yang setiap kerja yang sepatutnya berjalan dengan baik terbengkalai kerana setiap urusan akan menuntut wang saguhati atau tips. Bermula dari driver bas di Airport Kaherah sehinggalah ke pihak-pihak yang lebih atas. Apabila keadaan ini berlaku orang miskin susah hendak berurusan kerana mereka tidak mampu memberikan ‘hadiah’ kepada pegawai-pegawai yang bertugas. Kualiti kerja menjadi rosak. Perasaan tanggungjawab terhadap tugas diukur dengan hadiah yang pernah diberikan atau yang akan diberikan. Maka rasuah merangkumi kesalahan berbohong dan khianat.

6. Adapun pemberian untuk mengelakkan kezaliman seperti memberikan suapan kepada sesuatu pihak bagi melepaskan diri dari kezaliman atau memperolehi hak yang sepatutnya. Ini seperti merasuah petugas kepada penguasa yang zalim demi melepas sesuatu kezaliman kepada diri sendiri atau pihak tertentu, atau mengembalikan sesuatu hak yang diambil dengan cara yang zalim, maka Dr. Al-Qaradawi berpendapat bahawa jika keadaan seperti itu berlaku, seseorang hendaklah berusaha dengan cara yang tidak merasuah sesiapa. Namun jika tiada jalan dan terpaksa, maka dosa tersebut ditanggung oleh pihak yang mengambilnya, tidak atas pihak yang memberikan suapan tersebut (lihat: al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, m.s 300, Beirut: al-Maktab al-Islami).

7. Perbuatan rasuah adalah dosa yang besar. Sabda Nabi s.a.w:

“Allah melaknat pemberi rasuah dan penerimanya” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).

Apa tidaknya, rasuah boleh meruntuh keseluruhan sistem keadilan dalam sesebuah masyarakat. Kata Saidina Ali bin Abi Talib:

“Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201. Beirut: Muasasah al-Risalah).

8. Hadiah yang ikhlas adalah digalakkan oleh Islam. Sabda Nabi s.a.w:

“Berilah hadiah nanti kamu akan sayang menyayangi” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

Ya, hadiah yang jujur kepada sahabat atau bakal pasangan hidup akan menimbul kenangan dan ingatan. Kasih-sayang tanpa kepentingan itu amat tinggi nilainya dalam kehidupan insan. Hadiah satu jalan mengeratkan hubungan antara kita atas kejujuran dan keikhlasan jiwa.

Mar 16, 2010

Aspirasi SPRM 2010

Meningkatkan keyakinan dan memperbaiki persepsi masyarakat Malaysia dan antarabangsa ke atas keberkesanan SPRM dalam pencegahan rasuah berasaskan prinsip kebebasan, ketelusan dan profesionalisme

Meningkatkan Keyakinan

Menjadikan SPRM sebagai Suruhanjaya yang profesional serta mempunyai imej yang tinggi dari kaca mata masyarakat dalam dan luar negara dengan cara menguatkuasakan undang-undang, peraturan dan arahan-arahan pentadbiran secara cekap, betul dan berkesan. Di samping itu SPRM juga komited memberikan pendidikan dan penerangan mengenai kejijikan jenayah rasuah dan langkah-langkah pencegahannya demi memelihara sokongan masyarakat supaya bersama memerangi jenayah rasuah.

Keberkesanan SPRM

Kebebasan:Suruhanjaya ini bebas dalam melaksanakan tugas-tugasnya dan tidak terpengaruh dan terikat dengan mana-mana pihak. Tugas-tugas Suruhanjaya akan dilaksanakan dengan amanah, tegas dan adil.

Ketelusan: Struktur dan mekanisme yang baru ini memastikan supaya ianya telus, jelas, nyata dalam membuat keputusan tanpa menimbulkan keraguan, ketidakpuasan hati atau kecurigaan masyarakat.

Profesionalisme: Para anggota Suruhanjaya mempunyai ilmu, kemahiran, kompeten, kreatif, inovatif, efektif serta bertindak berlandaskan prinsip undang-undang negara dan kod etika jabatan.

Mar 7, 2010

Hebahan Program Sempena Ulangtahun SPRM dan Pelancaran Aspirasi

Bersempena dengan Ulangtahun Pertama Pelancaran SPRM dan Pelancaran Aspirasi, SPRM akan menganjurkan program-program berbentuk pendidikan masyarakat sebagai mana jadual yang telah disediakan oleh Cawangan Penerbitan Media Elektronik, Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM melalui laman sesawang SPRM.

Dapatkan jadual hebahan program pada pautan di bawah, semoga bermanfaat.


#Bersama Mahasiswa Membasmi Rasuah#

Feb 25, 2010

Perutusan KP SPRM

Perutusan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
15/01/2010

Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh dan selamat sejahtera.

Bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah dan izinnya maka kita dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang tahun 2009 lalu untuk meneruskan usaha-usaha memerangi rasuah di Negara ini. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat tahun baru 2010 dan menyeru agar permulaan tahun baru ini, segenap warga SPRM dapat bersatu padu meningkatkan keazaman dan semangat kerja berpasukan kearah memberikan perkhidmatan yang lebih cekap, berkesan dan professional.

Aspirasi yang telah ditetapkan untuk dicapai sepanjang tahun 2010 ini adalah untuk meningkatkan keyakinan dan memperbaiki persepsi masyarakat Malaysia dan antarabangsa kearah keberkesanan SPRM dalam pencegahan rasuah berasaskan kebebasan, ketelusan dan profesionalisme. Ianya selari dengan N-KRA yang ditetapkan oleh kerajaan. Tiga bidang utama yang menjadi tumpuan SPRM dalam mencapai aspirasi ini adalah penumpuan kepada kes-kes rasuah dalam agensi penguatkuasaan dan badan perundangan, perolehan kerajaan dan rasuah terancang (grand corruption).

Bagi mencapai aspirasi ini, seluruh warga SPRM perlu mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran, mampu berdaya saing serta bertindak sejajar dengan apa jua keadaan di samping perlu flexible, adaptable, responsif dan proaktif. Perubahan sikap ini memerlukan usaha bersepadu samada di peringkat atasan, pertengahan dan juga di peringkat akar umbi. Satu pelan pembangunan sumber manusia dan kerjaya yang sistematik dan terancang bakal diperkenalkan sebagai asas kepada penghasilan tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Sekali lagi saya mengucapkan Selamat tahun baru dan semoga maju jaya.

Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah. Wassalam’ualaikum Warahmatullah.

BERSAMA KITA HAPUSKAN RASUAH

DATO’ HJ. ABU KASSIM BIN MOHAMED
Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Feb 7, 2010

Jawatankuasa SPR UPSI 2010


PENASIHAT

PROF. DR. SHAHARUDIN BIN ABDUL AZIZ

TIMBALAN NAIB CANSELOR HAL EHWAL PELAJAR DAN ALUMNI


PENYELARAS

EN. MOHD FAIZI BIN OTHMAN

TIMBALAN PENDAFTAR KANAN

JABATAN HAL EHWAL PELAJAR DAN ALUMNI


PENGERUSI

MUHAMMAD ASREE BIN ABDUL AZIZ


TIMBALAN PENGERUSI

MUNIRAH BT AB WAHAB


SETIAUSAHA

WAN NURUL HUDA BT W.A,LAH@WAN MOHAMAD



PENOLONG SETIAUSAHA

MOHD AFIQ BIN HAMID


BENDAHARI

NUR EMILLIDA BT YUSOFF



PENOLONG BENDAHARI

SITI ASMAQ BT MUHAMMAD



BIRO CERAMAH

MOHAMMAD SAIFUL RIZAL BIN ROZLAN


BIRO PAMERAN

NUR MUHAMMAD FAIQ BIN IBRAHIM


BIRO SEMINAR, FORUM & BENGKEL

ANIS ’ARTIQAH BT AHMAD


BIRO PEMENTASAN BERMESEJ

MOHD ZAINI BIN ZAINUDIN


BIRO GERAK KERJA MASYARAKAT

NURUL IZANI BT SHUIB

MUHAMAD AZHAR BIN ABDUL GHANI


BIRO KEAGAMAAN

MUHAMMAD ZA FAUZAN BIN HUSIN


BIRO RAKAN MUDA

MASTURA BT ABDUL GHANI


BIRO PIDATO DAN DEBAT

MOHD FARHAN BIN ABU TALIB

CHE NOR HAZLINA BT CHE HAMZAH


Tahniah atas pelantikan saudara dan saudari sekalian. Semoga amanah yang diberikan akan terus digalas dan ditunaikan ke arah menjadikan SPR UPSI sebuah sekretariat yang aktif lagi efektif mencapai objektif.


#BERSAMA MAHASISWA MEMBANTERAS RASUAH#




Jan 30, 2010

GTP:Sembilan Inisiatif Utama Untuk Banteras Rasuah

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Barikut adalah intipati Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk membanteras rasuah:

*Meningkatkan Skor Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI) dari 4.5 kepada 4.9 tahun ini.

*Meningkatkan peratusan yang menjawab "berkesan" dalam Kajian Global Corruption Barometer TI terhadap tindakan kerajaan dalam membanteras rasuah dari 28 peratus sekarang kepada 37 peratus tahun ini.

*Meningkatkan jumlah kes didakwa berbanding jumlah tangkapan pengedaran dan pemilikan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya dari 75 peratus ke 80 peratus tahun ini.

*Meningkaktan jumlah saman yang diselesaikan berbanding dengan saman yang dikeluarkan polis dari 50 peratus kepada 61 peratus dan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dari 60 peratus kepada 78 peratus.

*Meningkatkan jumlah kes didakwa berbanding jumlah tangkapan dan tahanan di bawah Undang-undang Imigresen dari 53 peratus ke 60 peratus tahun ini.

*Meningkatkan cukai yang diperoleh semula daripada barangan yang diisytihar di bawah harga sebenar daripada RM9 juta kepada RM21 juta tahun ini.

*Jumlah penemuan audit terhadap salah urus perolehan setiap kementerian daripada 11.2 kepada 10.6 tahun ini.

*Meningkatkan peratusan perbicaraan diselesaikan dalam setahun daripada 8.5 peratus kepada 30 peratus.

*Menasarkan sebanyak 80 jumlah individu dalam pangkalan data pesalah daripada sifar pada tahun ini.

Kerajaan akan memantap dan memperkukuhkan unit-unit pematuhan dengan sasaran meraih semula keyakinan terhadap agensi pengawalseliaan dan penguatkuasaan -- Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Untuk itu, kerajaan antara lain akan melantik kakitangan unit pematuhan dengan sewajarnya, memberikan kuasa kepada unit untuk bertindak di bawah pengawasan langsung ketua agensi dan sebuah Suruhanjaya Bebas selain mewujudkan sebuah rangka kerja penyokong.

Bagi mengurangkan peluang berlakunya amalan rasuah, turut dilaksanakan ialah penggiliran kerja untuk menghalang pegawai penguatkuasa daripada membentuk hubungan kerjasama dengan organisasi jenayah dan mewujudkan carta liga prestasi bagi semua pihak berkuasa tempatan.

Parameter surat sokongan, yang kerap diguna untuk mempengaruhi kakitangan kerajaan bagi memintasi dasar dan tatacara standard kerajaan dalam mendapatkan kontrak, akan diperjelaskan amalannya dan akan dikurangkan secara berperingkat.

Butiran kontrak perolehan kerajaan akan didedahkan di mana kementerian perlu menerbitkan maklumat secara berpusat di portal e-kerajaan ringkasan projek-projek di mana perolehan dirancang dan dianugerah oleh kementerian berkenaan.

Orang ramai akan dihubungkan dengan laman web kementerian berkenaan untuk mendapatkan butiran selanjutnya mengenai projek atau perolehan itu.

Untuk meningkatkan ketelusan pembiayaan politik, undang-undang sedia ada akan dikuatkuasakan dan kajian untuk mengubahsuai pembiayaan politik akan dilaksanakan.

Kerajaan juga mencadangkan supaya ahli politik dan parti politik disyaratkan mendedahkan sumber pembiayaan dan perbelanjaan mereka kepada agensi yang bersesuaian.

Dasar toleransi sifar terhadap rasuah akan disokong dengan perlindungan pemberi maklumat dengan penggubalan Undang-udang Perlindungan Pemberi Maklumat.

Semua kes rasuah yang dilapor akan disiasat sepenuhnya tanpa mengira kedudukan dan butiran mengenai pesalah yang disabitkan kesalahan akan didedah kepada orang ramai sebagai tindakan pencegahan dan hukuman yang cepat dan keras terhadap mereka yang didapati bersalah kerana rasuah.

Kebebasan institusi utama akan diperkukuhkan dan ini antara lain melibatkan kajian terhadap Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk mencari jalan memperkukuh peranannya dalam mencadangkan pelantikan kehakiman.

Akta untuk mendakwa kes rasuah dalam setahun juga digubal terutama yang membabitkan kepentingan awam dan dalam hal ini untuk memastikan pendakwaan yang segera dan cekap, tatacara bagi rakaman kenyataan saksi dan penyampaian sepina akan diperkukuh.

Selain itu jadual pelaksanaan ketat akan dikuatkuasa terhadap semua proses dan tatacara pendakwaan dan keupayaan pengendalian kes mahkamah akan ditingkat menerusi pelantikan Timbalan Pendakwa Raya tambahan dan penubuhan mahkamah rasuah khas.

Akta SPRM akan dipinda untuk mengenakan hukuman yang lebih keras berdasarkan keseriusan kesalahan memandangkan pada masa sekarang tidak ada hukuman minimum ditetapkan.

Di samping itu, struktur hukuman lebih keras juga akan dilaksana terhadap pegawai awam yang disabitkan kesalahan (kakitangan awam dan ahli pentadbiran, perundangan dan kehakiman).

Pangkalan data pesalah 'namakan dan malukan', pendekatan dalam bentuk pangkalan data awam yang menyenaraikan pesalah rasuah akan dilaksanakan dan pangkalan data ini juga akan berfungsi mempermudah keputusan pengambilan kerja, terutama bagi jawatan sensitif yang melibatkan kuasa dan amanah.- BERNAMA

Jan 26, 2010

SPRM: Penjelasan 'Surat Sokongan'

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan satu kenyataan media berkenaan dengan isu 'Surat Sokongan' kepada mana-mana syarikat atau individu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat, Pejabatan Ketua Pesuruhjaya SPRM Malaysia tersebut mengandungi beberapa penjelasan tambahan tentang isu tersebut bagi mengelakkan sebarang salah faham dan kekeliruan.

Untuk itu, disertakan di bawah ini link untuk membaca kenyataan tersebut (format pdf). Semoga bermanfaat!


#BERSAMA MAHASISWA MEMBANTERAS RASUAH#

Jan 13, 2010

SPRM Akan Kuatkuasakan Larangan Umum Laporan Rasuah Pada Media

PUTRAJAYA: Tiada lagi laporan dalam media berkaitan kes-kes rasuah yang baru diadukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ataupun kes yang masih dalam siasatan.

Hukuman yang boleh dikenakan jika melanggar larangan berkenaan ialah penjara selama dua tahun dan denda sebanyak RM100,000 seperti yang termaktub dalam peruntukan Seksyen 29(4) Akta SPRM 2009.

Amaran itu ditegaskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed bagi memastikan elemen kerahsiaan dipelihara.

"Sejak penubuhan suruhanjaya ini, kita tidak pernah gunakan, tapi pada masa akan datang kita akan pakai peruntukan ini demi keadilan kepada semua pihak.

"Apabila kita bercakap mengenai keadilan ia adalah untuk semua pihak termasuk orang yang disiasat atau pengadu, bila sesuatu laporan itu didedahkan ia akan menjejaskan siasatan SPRM," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Seksyen berkenaan dengan jelas menyatakan sesuatu aduan yang dibuat di bawah subseksyen (1) hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang kepada mana-mana orang selain pegawai-pegawai Suruhanjaya dan Pendakwa Raya sehinggalah orang tertuduh dipertuduh di mahkamah atas suatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain berbangkit daripada aduan itu, melainkan jika pendedahan itu dibuat dengan persetujuan Pendakwa Raya atau seorang pegawai Suruhanjaya yang berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi.

Abu Kassim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Pengerusi Bersih Bangun Selangor (Bebas), Mohd Abdul Raof Mokhtar yang membuat laporan kepada SPRM semalam melibatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung kampus projek Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Mohd Abdul Raof berkata kerajaan Selangor telah mengarahkan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) supaya melantik Abdul Khalid sebagai pengerusinya, kerana jika tidak, pembinaan kampus itu di sekeping tanah milik yayasan itu akan dihentikan.

Mengulas lanjut, Abu Kassim berkata, tindakan menggunakan media untuk menghebahkan mengenai sesuatu laporan yang dibuat kepada SPRM akan mengganggu proses siasatan.

Menurutnya, trend menggunakan saluran media oleh pihak-pihak tertentu sebelum atau selepas membuat laporan kepada suruhanjayanya perlu diperbetulkan.

"Saya lihat akhir-akhir ini ada satu trend bila nak buat sesuatu laporan, mereka akan membawa berkampung-kampung pemberita... ini perlu diperbetulkan dahulu.

"Selain elemen kerahsiaan, kita juga ada elemen kejutan iaitu kita perlu pergi ke sesuatu tempat untuk mendapatkan bukti.

"Tapi apabila ia sudah dihebahkan pada peringkat awal, saksi keterangan akan menghilangkan diri," katanya.

Tambah beliau pihak media perlu bekerjasama dengan pihaknya bagi membantu mengubah persepsi masyarakat menganai tugas dan tanggungjawab SPRM.

Katanya SPRM bukan sahaja mahu melaksanakan tugas dengan telus, tapi turut mahu sentiasa dilihat sebagai sebuah agensi yang telus.

"Apabila kita nak menyiasat, kita perlu pastikan orang-orang yang terlibat dapat dipanggil, tapi macam mana kita nak jalankan siasatan kerana semua pihak yang kita nak panggil dah tahu mereka akan dipanggil dan pihak yang disiasat pun tahu siapa SPRM nak panggil.

"Jadi sudah pasti ada pihak-pihak yang akan hilangkan diri dan SPRM tak berjaya jalankan siasatan... bila tak berjaya kita akan dituduh sebagai tidak berkesan," katanya.

Selain itu menurut Abu Kassim, tindakan media melaporkan mengenai sesuatu kes rasuah juga akan secara tidak langsung akan mengaibkan pihak-pihak yang terlibat.

Ditanya sama ada penguatkuasaan akta berkenaan akan menghalang kebebasan media, beliau berkata: "Ini bukan soal kebebasan media tapi soal hak... hak dan keadilan tidak kira kepada sesiapa pun."

Berhubung sama ada SPRM akan mengambil tindakan terhadap semua pihak yang melaporkan mengenai laporan berkaitan YBK semalam, Abu Kassim berkata akta tersebut akan mula dikuatkuasakan mulai hari ini.

Kembalikan Kepercayaan Rakyat : Abu Kassim

Usaha mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berasaskan kebebasan, ketelusan dan profesionalisme adalah aspirasi utama badan itu tahun ini.

Namun misi dan visi SPRM tetap sama iaitu, mewujudkan masyarakat Malaysia bebas daripada rasuah berlandaskan nilai-nilai kerohanian dan moral yang tinggi.

Menjadikan SPRM agensi pembanterasan rasuah yang professional dan unggul. Menghapuskan jenayah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan di Malaysia. Mengukuhkan integriti dan memantapkan kepakaran melalui program pembangunan sumber manusia secara terancang dan berterusan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Dato Abu Kassim Mohamed berkata, Kewujudan pesepsi negatif masih kekal di kalangan rakyat walaupun tahun lepas SPRM berjaya menangkap 25 kes profil tinggi termasuk penuduhan 10 orang ahli politik, enam orang ketua jabatan yang tidak pernah disiasat tahun-tahun sebelum ini.

Keyakinan masyarakat akan mejadi teras kejayaan SPRM kata beliau. Motto SPRM yang berasaskan Amanah, Tegas dan Adil serta kuasa yang diberi membantu pegawai SPRM melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang betul bagi membuktikan Profesionalisme pegawai SPRM.

"Demi mengembalikan kepercayaan masyarakat, saya akan memastikan kebebasan SPRM dalam menjalankan tugasnya supaya rakyat dapat merasai kewujudan SPRM", katanya dalam perhimpunan bulanan SPRM di Ibu Pejabat SPRM pagi tadi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Haji Mohd Shukri Bin Abdull yang baru naik pangkat semalam yang sebelumnya memegang jawatan sebagai Pengarah Siasatan SPRM dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato Haji Zakaria Jaafar turut hadir ke Perhimpunan tersebut.

Jan 3, 2010

Datuk Abu Kassim Angkat Sumpah KP Baru SPRM

KUALA LUMPUR: Datuk Abu Kassim Mohamed, hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu di sini.

Pelantikan Abu Kassim, 49, berkuat kuasa 1 Januari lalu bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang memutuskan untuk bersara pada 31 Disember 2009 iaitu lima bulan lebih awal daripada tempoh kontraknya berakhir.

Menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1 September 1984 sebagai pegawai siasatan, Abu Kassim memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sarjana Sains dalam bidang Kehakiman Jenayah dari Michigan State University, Amerika Syarikat.

Beliau pernah menjadi Pengarah Perancangan dan Koordinasi Dasar di ibu pejabat BPR, Pengarah BPR Perak dan Pulau Pinang, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia dan dipinjamkan sebagai Ketua Pegawai Integriti, Amanah Raya Bhd.

Abu Kassim dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) BPR pada 1 Jun 2007.

Apabila BPR bertukar menjadi suruhanjaya pada 1 Januari tahun lalu, Abu Kassim dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya. - Bernama