Jul 31, 2010

NKRA:Membanteras Rasuah


Membanteras Rasuah

Persepsi mengenai terjadinya amalan rasuah telah meningkat sejak tahun-tahun kebelakangan ini. Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) di bawah Transparency International (TI) telah menurun daripada tempat 23 pada tahun 1995 kepada 56 pada tahun 2009.

Kos kepada negara akibat rasuah adalah signifikan. Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) menganggarkan bahawa rasuah boleh menyebabkan kos sebanyak RM10 bilion setahun, atau 1-2% daripada KDNK. Dalam membanteras rasuah, kami akan mulakan dengan memberi fokus kepada tiga bidang yang amat terdedah kepada rasuah – badan pengawalseliaan dan penguatkuasaan, perolehan kerajaan dan rasuah besar (termasuk rasuah politik). Selain itu, kami akan menerima-pakai KPI yang berasaskan kepada keberhasilan dan ditanda aras di peringkat antarabangsa.

Sasaran kami adalah untuk meningkatkan skor CPI daripada 4.5 kepada 4.9 menjelang 2010. Kami juga mahu meningkatkan peratusan responden yang menjawab ‘berkesan’ kepada Kajian Global Corruption Barometer TI terhadap tindakan kerajaan dalam membanteras rasuah daripada 28% kepada 37%.

  1. Meraih semula keyakinan terhadap agensi pengawalseliaan dan Penguatkuasaan
  2. Mengurangkan ketirisan dana dalam perolehan kerajaan
  3. Menangani rasuah besar

Tahap pencapaian utama

Pada tahun 2010, rakyat boleh menjangka untuk melihat pendedahan kontrak perolehan kerajaan dalam portal e-kerajaan, penggubalan undang-undang perlindungan pemberi maklumat dan satu akta untuk mendakwa kes-kes rasuah dalam tempoh satu tahun. Tahap pencapaian ini (bersamaan dengan inisiatif mereka) dihuraikan dengan lanjut dalam Bab 7.

Kemajuan awal yang tercapai dalam membanteras rasuah

Walaupun masih di peringkat awal, Kerajaan dan institusi lain telahpun mengambil langkah untuk meneguhkan usaha pembaharuan mereka dalam membanteras rasuah. Contoh termasuk pendakwaan terhadap wakil-wakil rakyat (meliputi semua parti politik) dan pegawai tinggi perkhidmatan awam atas penyalahgunaan dana awam serta penubuhan pasukan khas perkhidmatan awam bagi memeriksa penyalahan urusan kewangan sebagaimana yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara. Selain itu, SPRM telah menyiapkan satu kajian untuk menyekat ruang dan peluang bagi penyalahgunaan dana kawasan dewan undangan negeri dan parlimen oleh Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen. Pada masa ini, SPRM sedang menyampaikan taklimat kepada wakil rakyat tentang cara menguruskan peruntukan mereka dan tatacara yang betul untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan salah guna dana.

Meraih semula keyakinan terhadap agensi pengawalseliaan dan penguatkuasaan

Kami menyasarkan untuk meraih semula keyakinan orang ramai terhadap agensi pengawalseliaan dan penguatkuasaan: PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ini adalah agensi-agensi di bawah Kerajaan Persekutuan yang mempunyai jumlah kes pertuduhan terbanyak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2005 dan 2009 dan mendapat skor terendah dalam persepsi integriti di kalangan komuniti perniagaan dan awam.

Sasaran kami bagi tahun 2010 adalah untuk meningkatkan bilangan kes didakwa berbanding bilangan ditangkap, bagi pengedaran dan pemilikan dadah kepada 80% (daripada peratusan semasa 75%), bilangan saman dibayar berbanding bilangan saman dikeluarkan oleh PDRM kepada 61% (daripada 50%) dan oleh JPJ kepada 78% (daripada 60%). Selain itu, kami menyasarkan untuk meningkatkan bilangan kes didakwa berbanding bilangan ditangkap dan ditahan di bawah Akta Imigresen kepada 60% (daripada 53%), dan cukai diperoleh semula daripada barangan yang diisytihar di bawah harga sebenar kepada RM 21 juta (daripada RM 9 juta).

Untuk mencapai sasaran ini, kami akan memperkukuh dan memperkasakan unit-unit pematuhan dalam setiap agensi penguatkuasaan. Ini temasuklah mengagihkan sumber yang secukupnya kepada unit yang didedikasikan dengan kuasa untuk mengambil tindakan. Unit pematuhan ini akan melaporkan terus kepada ketua agensi penguatkuasaan, dengan satu Suruhanjaya Bebas mengawasi pengurusan dan pengendaliannya. Rangka kerja yang menyokong, termasuk untuk melindungi pelapor, menilai integriti staf dan mengurus ganjaran dan konsekuensi akan juga diwujudkan untuk meningkatkan lagi keberkesanan unit pematuhan.

Selain itu, kami juga akan melaksanakan inisiatif-inisiatif lain yang direka bentuk untuk mengurangkan peluang berlakunya amalan rasuah di kalangan agensi penguatkuasaan. Ini termasuk menginstitusikan penggiliran kerja (job rotation) untuk menghalang pegawai penguatkuasa daripada membentuk hubungan kerjasama dengan organisasi jenayah. Dengan memberi keutamaan untuk memperbaiki prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha membanteras rasuah, kami juga akan mengadakan satu carta liga prestasi bagi semua PBT.

Mengurangkan ketirisan dana dalam perolehan kerajaan

Kami akan mengurangkan ketirisan dana yang diperuntukkan untuk pembangunan nasional dan perbelanjaan operasi selain memastikan ketelusan dalam penganugerahan kontrak. Sararan kami adalah, menjelang tahun 2010, untuk mengurangkan bilangan penemuan audit terhadap salah urus perolehan setiap kementerian kepada 10.6 daripada jumlah 11.2. Inisiatif-inisiatif untuk mencapai matlamat ini termasuk :

  • Menyasarkan untuk mengurangkan secara berperingkat amalan surat sokongan, yang kerap digunakan untuk mempengaruhi kakitangan kerajaan untuk memintasi dasar dan tatacara standard kerajaan dalam mendapatkan kontrak. Matlamat kami adalah untuk menghapuskan amalan ini sama sekali.
  • Mendedahkan secara terperinci semua kontrak perolehan kerajaan dalam lamanweb kementerian dan agensi serta dalam portal e-kerajaan. Ketua Setiausaha atau Ketua Pengarah setiap kementerian akan dipertanggungjawabkan untuk memastikan maklumat perolehan yang terkini dari kementerian/jabatan mereka didedahkan. Maklumat terperinci termasuklah senarai projek perolehan yang dirancang, nama-nama kontraktor yang berjaya, harga kontrak dan tempoh projek.

Menangani rasuah besar

Kami perlu menghalang penyalahgunaan kuasa dan sumber awam oleh ahli politik dan kakitangan kanan kerajaan. Kejayaan kami akan diukur dengan menggunakan kaji selidik awam yang bebas terhadap persepsi mengenai tahap rasuah besar. Selain itu, kami menyasarkan untuk meningkatkan, menjelang 2010, peratusan perbicaraan yang diselesaikan dalam satu tahun kepada 30% daripada 8.5% dan menyenaraikan 84 individu dalam pangkalan data pesalah. Inisiatif-inisiatif kami termasuklah:

  • Menguatkuasakan undang-undang politik sedia ada dan menjalankan satu kajian ke atas pembaharuan dana politik dalam lingkungan Perlembagaan. Kajian itu akan menilai kebolehlaksanaan memperkenalkan pendekatan holistik terhadap pembiayaan yang merangkumi sebuah proses pendedahan yang ditambahbaik, had maksima bagi derma swasta dan pembiayaan awam tambahan.
  • Mengumumkan dasar toleransi sifar dan rangka kerja perlindungan pemberi maklumat (whistleblower).
  • Memperkukuh kebebasan institusi utama termasuk Suruhanjaya PelantikanKehakiman, dalam lingkungan Perlembagaan.
  • Berusaha untuk menyelesaikan pendakwaan kes rasuah dalam tempoh satu tahun, terutamanya kes yang membabitkan kepentingan awam.
  • Menguatkuasakan hukuman yang lebih keras terhadap mereka yang disabit kesalahan rasuah. Ini termasuklah penetapan hukuman minimum dan hukuman yang lebih berat ke atas pegawai perkhidmatan awam yang disabit kesalahan.
  • Membangunkan satu pangkalan data awam yang mengandungi pesalah yang telah disabitkan. Data ini bertindak sebagai pencegah (deterrent) dan mempermudah keputusan pengambilan kerja

No comments:

Post a Comment