Jan 30, 2010

GTP:Sembilan Inisiatif Utama Untuk Banteras Rasuah

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Barikut adalah intipati Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk membanteras rasuah:

*Meningkatkan Skor Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI) dari 4.5 kepada 4.9 tahun ini.

*Meningkatkan peratusan yang menjawab "berkesan" dalam Kajian Global Corruption Barometer TI terhadap tindakan kerajaan dalam membanteras rasuah dari 28 peratus sekarang kepada 37 peratus tahun ini.

*Meningkatkan jumlah kes didakwa berbanding jumlah tangkapan pengedaran dan pemilikan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya dari 75 peratus ke 80 peratus tahun ini.

*Meningkaktan jumlah saman yang diselesaikan berbanding dengan saman yang dikeluarkan polis dari 50 peratus kepada 61 peratus dan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dari 60 peratus kepada 78 peratus.

*Meningkatkan jumlah kes didakwa berbanding jumlah tangkapan dan tahanan di bawah Undang-undang Imigresen dari 53 peratus ke 60 peratus tahun ini.

*Meningkatkan cukai yang diperoleh semula daripada barangan yang diisytihar di bawah harga sebenar daripada RM9 juta kepada RM21 juta tahun ini.

*Jumlah penemuan audit terhadap salah urus perolehan setiap kementerian daripada 11.2 kepada 10.6 tahun ini.

*Meningkatkan peratusan perbicaraan diselesaikan dalam setahun daripada 8.5 peratus kepada 30 peratus.

*Menasarkan sebanyak 80 jumlah individu dalam pangkalan data pesalah daripada sifar pada tahun ini.

Kerajaan akan memantap dan memperkukuhkan unit-unit pematuhan dengan sasaran meraih semula keyakinan terhadap agensi pengawalseliaan dan penguatkuasaan -- Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Untuk itu, kerajaan antara lain akan melantik kakitangan unit pematuhan dengan sewajarnya, memberikan kuasa kepada unit untuk bertindak di bawah pengawasan langsung ketua agensi dan sebuah Suruhanjaya Bebas selain mewujudkan sebuah rangka kerja penyokong.

Bagi mengurangkan peluang berlakunya amalan rasuah, turut dilaksanakan ialah penggiliran kerja untuk menghalang pegawai penguatkuasa daripada membentuk hubungan kerjasama dengan organisasi jenayah dan mewujudkan carta liga prestasi bagi semua pihak berkuasa tempatan.

Parameter surat sokongan, yang kerap diguna untuk mempengaruhi kakitangan kerajaan bagi memintasi dasar dan tatacara standard kerajaan dalam mendapatkan kontrak, akan diperjelaskan amalannya dan akan dikurangkan secara berperingkat.

Butiran kontrak perolehan kerajaan akan didedahkan di mana kementerian perlu menerbitkan maklumat secara berpusat di portal e-kerajaan ringkasan projek-projek di mana perolehan dirancang dan dianugerah oleh kementerian berkenaan.

Orang ramai akan dihubungkan dengan laman web kementerian berkenaan untuk mendapatkan butiran selanjutnya mengenai projek atau perolehan itu.

Untuk meningkatkan ketelusan pembiayaan politik, undang-undang sedia ada akan dikuatkuasakan dan kajian untuk mengubahsuai pembiayaan politik akan dilaksanakan.

Kerajaan juga mencadangkan supaya ahli politik dan parti politik disyaratkan mendedahkan sumber pembiayaan dan perbelanjaan mereka kepada agensi yang bersesuaian.

Dasar toleransi sifar terhadap rasuah akan disokong dengan perlindungan pemberi maklumat dengan penggubalan Undang-udang Perlindungan Pemberi Maklumat.

Semua kes rasuah yang dilapor akan disiasat sepenuhnya tanpa mengira kedudukan dan butiran mengenai pesalah yang disabitkan kesalahan akan didedah kepada orang ramai sebagai tindakan pencegahan dan hukuman yang cepat dan keras terhadap mereka yang didapati bersalah kerana rasuah.

Kebebasan institusi utama akan diperkukuhkan dan ini antara lain melibatkan kajian terhadap Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk mencari jalan memperkukuh peranannya dalam mencadangkan pelantikan kehakiman.

Akta untuk mendakwa kes rasuah dalam setahun juga digubal terutama yang membabitkan kepentingan awam dan dalam hal ini untuk memastikan pendakwaan yang segera dan cekap, tatacara bagi rakaman kenyataan saksi dan penyampaian sepina akan diperkukuh.

Selain itu jadual pelaksanaan ketat akan dikuatkuasa terhadap semua proses dan tatacara pendakwaan dan keupayaan pengendalian kes mahkamah akan ditingkat menerusi pelantikan Timbalan Pendakwa Raya tambahan dan penubuhan mahkamah rasuah khas.

Akta SPRM akan dipinda untuk mengenakan hukuman yang lebih keras berdasarkan keseriusan kesalahan memandangkan pada masa sekarang tidak ada hukuman minimum ditetapkan.

Di samping itu, struktur hukuman lebih keras juga akan dilaksana terhadap pegawai awam yang disabitkan kesalahan (kakitangan awam dan ahli pentadbiran, perundangan dan kehakiman).

Pangkalan data pesalah 'namakan dan malukan', pendekatan dalam bentuk pangkalan data awam yang menyenaraikan pesalah rasuah akan dilaksanakan dan pangkalan data ini juga akan berfungsi mempermudah keputusan pengambilan kerja, terutama bagi jawatan sensitif yang melibatkan kuasa dan amanah.- BERNAMA

Jan 26, 2010

SPRM: Penjelasan 'Surat Sokongan'

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan satu kenyataan media berkenaan dengan isu 'Surat Sokongan' kepada mana-mana syarikat atau individu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat, Pejabatan Ketua Pesuruhjaya SPRM Malaysia tersebut mengandungi beberapa penjelasan tambahan tentang isu tersebut bagi mengelakkan sebarang salah faham dan kekeliruan.

Untuk itu, disertakan di bawah ini link untuk membaca kenyataan tersebut (format pdf). Semoga bermanfaat!


#BERSAMA MAHASISWA MEMBANTERAS RASUAH#

Jan 13, 2010

SPRM Akan Kuatkuasakan Larangan Umum Laporan Rasuah Pada Media

PUTRAJAYA: Tiada lagi laporan dalam media berkaitan kes-kes rasuah yang baru diadukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ataupun kes yang masih dalam siasatan.

Hukuman yang boleh dikenakan jika melanggar larangan berkenaan ialah penjara selama dua tahun dan denda sebanyak RM100,000 seperti yang termaktub dalam peruntukan Seksyen 29(4) Akta SPRM 2009.

Amaran itu ditegaskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed bagi memastikan elemen kerahsiaan dipelihara.

"Sejak penubuhan suruhanjaya ini, kita tidak pernah gunakan, tapi pada masa akan datang kita akan pakai peruntukan ini demi keadilan kepada semua pihak.

"Apabila kita bercakap mengenai keadilan ia adalah untuk semua pihak termasuk orang yang disiasat atau pengadu, bila sesuatu laporan itu didedahkan ia akan menjejaskan siasatan SPRM," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Seksyen berkenaan dengan jelas menyatakan sesuatu aduan yang dibuat di bawah subseksyen (1) hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang kepada mana-mana orang selain pegawai-pegawai Suruhanjaya dan Pendakwa Raya sehinggalah orang tertuduh dipertuduh di mahkamah atas suatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain berbangkit daripada aduan itu, melainkan jika pendedahan itu dibuat dengan persetujuan Pendakwa Raya atau seorang pegawai Suruhanjaya yang berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi.

Abu Kassim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Pengerusi Bersih Bangun Selangor (Bebas), Mohd Abdul Raof Mokhtar yang membuat laporan kepada SPRM semalam melibatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung kampus projek Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Mohd Abdul Raof berkata kerajaan Selangor telah mengarahkan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) supaya melantik Abdul Khalid sebagai pengerusinya, kerana jika tidak, pembinaan kampus itu di sekeping tanah milik yayasan itu akan dihentikan.

Mengulas lanjut, Abu Kassim berkata, tindakan menggunakan media untuk menghebahkan mengenai sesuatu laporan yang dibuat kepada SPRM akan mengganggu proses siasatan.

Menurutnya, trend menggunakan saluran media oleh pihak-pihak tertentu sebelum atau selepas membuat laporan kepada suruhanjayanya perlu diperbetulkan.

"Saya lihat akhir-akhir ini ada satu trend bila nak buat sesuatu laporan, mereka akan membawa berkampung-kampung pemberita... ini perlu diperbetulkan dahulu.

"Selain elemen kerahsiaan, kita juga ada elemen kejutan iaitu kita perlu pergi ke sesuatu tempat untuk mendapatkan bukti.

"Tapi apabila ia sudah dihebahkan pada peringkat awal, saksi keterangan akan menghilangkan diri," katanya.

Tambah beliau pihak media perlu bekerjasama dengan pihaknya bagi membantu mengubah persepsi masyarakat menganai tugas dan tanggungjawab SPRM.

Katanya SPRM bukan sahaja mahu melaksanakan tugas dengan telus, tapi turut mahu sentiasa dilihat sebagai sebuah agensi yang telus.

"Apabila kita nak menyiasat, kita perlu pastikan orang-orang yang terlibat dapat dipanggil, tapi macam mana kita nak jalankan siasatan kerana semua pihak yang kita nak panggil dah tahu mereka akan dipanggil dan pihak yang disiasat pun tahu siapa SPRM nak panggil.

"Jadi sudah pasti ada pihak-pihak yang akan hilangkan diri dan SPRM tak berjaya jalankan siasatan... bila tak berjaya kita akan dituduh sebagai tidak berkesan," katanya.

Selain itu menurut Abu Kassim, tindakan media melaporkan mengenai sesuatu kes rasuah juga akan secara tidak langsung akan mengaibkan pihak-pihak yang terlibat.

Ditanya sama ada penguatkuasaan akta berkenaan akan menghalang kebebasan media, beliau berkata: "Ini bukan soal kebebasan media tapi soal hak... hak dan keadilan tidak kira kepada sesiapa pun."

Berhubung sama ada SPRM akan mengambil tindakan terhadap semua pihak yang melaporkan mengenai laporan berkaitan YBK semalam, Abu Kassim berkata akta tersebut akan mula dikuatkuasakan mulai hari ini.

Kembalikan Kepercayaan Rakyat : Abu Kassim

Usaha mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berasaskan kebebasan, ketelusan dan profesionalisme adalah aspirasi utama badan itu tahun ini.

Namun misi dan visi SPRM tetap sama iaitu, mewujudkan masyarakat Malaysia bebas daripada rasuah berlandaskan nilai-nilai kerohanian dan moral yang tinggi.

Menjadikan SPRM agensi pembanterasan rasuah yang professional dan unggul. Menghapuskan jenayah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan di Malaysia. Mengukuhkan integriti dan memantapkan kepakaran melalui program pembangunan sumber manusia secara terancang dan berterusan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Dato Abu Kassim Mohamed berkata, Kewujudan pesepsi negatif masih kekal di kalangan rakyat walaupun tahun lepas SPRM berjaya menangkap 25 kes profil tinggi termasuk penuduhan 10 orang ahli politik, enam orang ketua jabatan yang tidak pernah disiasat tahun-tahun sebelum ini.

Keyakinan masyarakat akan mejadi teras kejayaan SPRM kata beliau. Motto SPRM yang berasaskan Amanah, Tegas dan Adil serta kuasa yang diberi membantu pegawai SPRM melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang betul bagi membuktikan Profesionalisme pegawai SPRM.

"Demi mengembalikan kepercayaan masyarakat, saya akan memastikan kebebasan SPRM dalam menjalankan tugasnya supaya rakyat dapat merasai kewujudan SPRM", katanya dalam perhimpunan bulanan SPRM di Ibu Pejabat SPRM pagi tadi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Haji Mohd Shukri Bin Abdull yang baru naik pangkat semalam yang sebelumnya memegang jawatan sebagai Pengarah Siasatan SPRM dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato Haji Zakaria Jaafar turut hadir ke Perhimpunan tersebut.

Jan 3, 2010

Datuk Abu Kassim Angkat Sumpah KP Baru SPRM

KUALA LUMPUR: Datuk Abu Kassim Mohamed, hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu di sini.

Pelantikan Abu Kassim, 49, berkuat kuasa 1 Januari lalu bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang memutuskan untuk bersara pada 31 Disember 2009 iaitu lima bulan lebih awal daripada tempoh kontraknya berakhir.

Menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1 September 1984 sebagai pegawai siasatan, Abu Kassim memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sarjana Sains dalam bidang Kehakiman Jenayah dari Michigan State University, Amerika Syarikat.

Beliau pernah menjadi Pengarah Perancangan dan Koordinasi Dasar di ibu pejabat BPR, Pengarah BPR Perak dan Pulau Pinang, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia dan dipinjamkan sebagai Ketua Pegawai Integriti, Amanah Raya Bhd.

Abu Kassim dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) BPR pada 1 Jun 2007.

Apabila BPR bertukar menjadi suruhanjaya pada 1 Januari tahun lalu, Abu Kassim dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya. - Bernama

Jan 2, 2010

Datuk Abu Kassim Ketua Pesuruhjaya Baru SPRM

Datuk Abu Kassim Mohamed

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya suruhanjaya itu yang baru, berkuat kuasa 1 Januari 2010.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, pelantikan ini berikutan permohonan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan supaya kontrak perkhidmatan beliau yang sepatutnya tamat pada 25 Mei 2010, dipendekkan kepada 31 Disember ini.

SPR UPSI mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Datuk Seri Ahmad Said Hamdan selama berkhidmat dan memberikan sumbangan kepada SPRM dan tahniah kepada KP yang baru, Datuk Abu Kassim Mohamed atas pelantikan ini.

Semoga usaha membanteras rasuah akan terus diperhebat selaras dengan objektif penubuhan SPRM. Juga harapan agar aspek pendidikan masyarakat melalui SPR IPTA seluruh negara akan terus direncanakan agar objektif penubuhan SPR IPTA akan mencapai matlamatnya.

#BERSAMA MAHASISWA MEMBANTERAS RASUAH#