Nov 21, 2009

SPR UPSI sertai Konvensyen Pencegahan Rasuah & Pemerkasaan Integriti Mahasiswa/i 2009

Bergambar kenangan selepas Majlis Perasmian Penutup

Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR) UPSI telah menyertai Konvensyen Pencegahan Rasuah & Pemerkasaan Integriti Mahasiswa/i 2009 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Institut Integriti Malaysia (IIM), dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Program tersebut berlangsung selama 4 hari bermula 15 November 2009 - 18 November 2009 di Panggung Seni, Dectar, UKM dirasmikan oleh YB. Dato' Hou Kok Chung Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. SPR UPSI diwakili oleh pimpinan dan ahli SPR seramai 17 orang diketuai oleh Presiden SPR UPSI, Saudara Khairul Faiz Mohd Nordin. Turut menyertai ialah Timbalan Presiden, Saudari Saripah Dora Ismail dan Exco Aktiviti Keagamaan, Saudara Nik Thaqif Nik Ibrahim.

Sepanjang konvensyen berjalan, banyak seminar, forum, ceramah dan pembentangan kertas kerja telah berlangsung yang berkisar tentang pengenalan, peranan, harapan, cabaran dan isu-isu semasa rasuah dan intergriti. Antara penceramah dan ahli panel yang terlibat ialah:

Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Rahman Embong
(Fellow Utama IKMAS UKM)

Prof. Dato. Dr. Mohd Yusof Hj. Othman
(Pengarah Institut Islam Hadhari UKM)

En. Mohd Nasir Mohd Nazri
(Presiden PMUKM)

Dato' Abu Kassim Mohamed
(Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM)

Dato' Hj Zakaria Hj Jaffar
(Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM)

Tuan Haji Mustafa Haji Ali
(Timbalan Presiden Institut Integriti Malaysia)

Dr Ridhuan Tee Abdullah
(Pensyarah Kanan UPNM)

En. Anis Yusal Yusof
(Fellow Utama KITA UKM)

Prof. Dato' Dr. Shamsul Amri Baharuddin
(Pengarah KITA UKM)

Konvensyen ini juga meluluskan enam resolusi yang dibacakan oleh Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM semasa majlis perasmian penutup yang disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato' Dr. Mohamad Abdul Razak, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM. Turut menyertai konvensyen ini ialah beberapa buah IPTS seperti Management & Science University (MSU) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Semoga Konvensyen Pencegahan Rasuah & Pemerkasaan Integriti Mahasiswa/i 2009 memberikan pemahaman yang mendalam dan diteruskan dengan aplikasi yang berkesan kepada para peserta keseluruhannya dan wakil UPSI khususnya dalam mencegah rasuah ke peringkat minimum dan memperkasakan integriti ke peringkat maksimum.

Sesi ceramah dan pembentangan kertas kerja


Pembentangan oleh penceramah (Prof. Dato' Dr Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah KITA UKM)


Pengumuman resolusi daripada konvensyen


Majlis perasmian penutup oleh YBhg. Dato' TNC UKM


Presiden SPR UPSI menerima sijil penyertaan daripada YBhg. Dato' TNC UKM

Justify Full#BERSAMA MAHASISWA MEMBASMI RASUAH#

Nov 14, 2009

Program Baktisiswa 'Cikgu Prihatin Mengajak Masyarakat Membasmi Rasuah'

SPR UPSI dengan kerjasama SPRM Perak dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPSI akan menganjurkan Program Baktisiswa 'Cikgu Prihatin Mengajak Masyarakat Membasmi Rasuah' di bawah Exco Gerak Mesra Masyarakat. Butiran program adalah seperti berikut:

Tarikh : 19 - 21 November 2009
Tempat : Kg Teluk Raja Bayang, Pulau Pangkor Perak
Perasmian : YBhg. En Mohd Faizi Othman
Timbalan Pendaftar Kanan
Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPSI
Perasmian Penutup : YBhg. TPj. Tn. Hj. Bahri Mohamad Zin
Pengarah SPRM Perak

Untuk tujuan itu, beberapa wakil daripada SPR UPSI telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak Pulau Pangkor yang diwakili oleh Penghulunya, Hj Muhammad Marzuki Hj Ibrahim.

Antara objektif program ini adalah untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat berkenaan bahaya rasuah dan seterusnya bersama-sama masyarakat berganding bahu untuk membasmi rasuah. Semoga program ini akan berjalan dengan lancar dan segala objektif dapat dicapai dengan jayanya dan memberikan manfaat semaksimum mungkin kepada semua pihak.

#BERSAMA MAHASISWA MEMBASMI RASUAH#

SPR UPSI terima kunjungan PenMas SPRM

Pada 6 Oktober 2009, SPR UPSI telah menerima kunjungan 5 orang pegawai Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM. Mereka terdiri daripada 3 orang pegawai PenMas SPRM Putrajaya dan 2 orang pegawai PenMas SPRM Perak yang terdiri daripada En Muhammad Haji Sipar, En. Samsul bin Sarip, Cik Izahtus Syuhada Abdul Rahim, En. Othman Mashroh dan En Zamri Hj Darus.

Mereka dalam rangka lawatan melakukan kunjungan ke semua Sekretariat Pencegahan Rasuah IPT bagi memastikan segala gerak kerja dan aktiviti dirancang dan dilaksanakan sebaik mungkin bagi merealisasikan objektif penubuhan SPR di IPT. Ketibaan mereka disambut oleh Puan Shariza Haryati Zabri, Penolong Pendaftar JHEPA UPSI yang mewakili Penyelaras SPR UPSI, En Mohd Faizi Othman bersama-sama pimpinan SPR UPSI yang diketuai oleh Presiden, Saudara Khairul Faiz Mohd Nordin.

Sebagai pengisian kepada kunjungan tersebut telah diadakan perbincangan dua hala antara PenMas SPRM dan SPR UPSI bagi membentangkan perancangan program dan aktiviti serta melihat organisasi pentadbiran dan pengurusan SPR UPSI. Kunjungan selama lebih kurang sejam setengah itu diakhiri dengan pertukaran cenderamata dan jamuan tengahari.


Perbincangan SPR UPSI - PenMas SPRM

Perbicangan SPR UPSI - PenMas SPRM

Perbincangan SPR UPSI - PenMas SPRM

Pertukaran cenderamata SPR UPSI - PenMas SPRM

Pertukaran cenderamata UPSI - PenMas SPRM

Jamuan makan tengahari

Semoga dengan kunjungan ini, SPR UPSI akan terus bersemangat menjalankan amanah yang telah diamanahkan.

#BERSAMA MAHASISWA MEMBASMI RASUAH#

Oct 5, 2009

MAJLIS BERBUKA PUASA SPRM Negeri Perak 2009

Antara wakil SPR UPSI yang menghadiri Majlis Berbuka Puasa SPRM Perak 2009.

Pada 14 September 2009 (24 Ramadhan 1430H), Sekretariat Pencegahan Rasuah UPSI (SPR UPSI) telah diundang untuk memeriahkan Majlis Berbuka Puasa SPRM Negeri Perak 2009 bagi meraikan ketua-ketua jabatan dan anak-anak yatim daerah Hilir Perak dan Teluk Intan. Majlis diadakan di Perkarangan Masjid Sultan Idris Shah 11, Teluk Intan, Perak.

Antara pengisian utama majlis ini ialah berbuka puasa,solat maghrib, isyak dan terawih berjemaah seterusnya diteruskan dengan tazkirah dan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim.

Semoga majlis ini memberikan erti yang mendalam kepada semua pihak.

#BERSAMA MAHASISWA MEMBASMI RASUAH#

Aug 21, 2009

PENDIDIKAN MASYARAKAT 4: Melahirkan Generasi Muda Benci Rasuah

Oleh: Penulis ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, SPRM.

Generasi muda adalah pelapis kepada kepimpinan masa depan dan penentu kepada kesinambungan kejayaan pembangunan yang dikecapi generasi sekarang. Jesteru, mereka perlu dididik supaya bersedia mengharungi cabaran lebih getir dan mampu menyeimbangi kemewahan yang diwarisi dengan nilai kehidupan yang berteraskan ajaran agama serta moral yang tinggi. Jenayah rasuah berlaku disebabkan sikap rakus manusia yang mengejar kuasa dan kekayaan semata-mata.

Perasuah mengandaikan maruah diri hanya kerana keuntungan peribadi dan membelakangkan tanggungjawab serta amanah kepada bangsa dan negara. Wawasan 2020 menggariskan sembilan cabaran penting yang perlu diberikan perhatian untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju mengikut acuannya sendiri. Apakah takrifan maju yang diidamkan negara dan adakah ia semata-mata maju dari segi pembangunan, ekonomi dan infrastrukturnya saja? Kemajuan yang kita idamkan ialah kemajuan yang seimbang antara aspek pembangunan fizikal dan kerohanian. Kita tidak mahu menjadi seperti negara maju mengikut takrifan Barat, sedangkan masalah sosial seperti jenayah, seks bebas, penyalahgunaan dadah, polarisasi kaum dan sebagainya masih menular.

Oleh itu, cabaran keempat Wawasan 2020 menggariskan aspek berikut: "Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri moral dan etikanya, dengan warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh serta ditunjangi budi pekerti yang luhur." SPRM sebagai badan penguatkuasa yang ditubuhkan untuk memerangi jenayah rasuah, penyelahgunaan kuasa dan penyelewengan juga telah menggariskan visinya iaitu ' Melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah dan hidup berlandaskan nilai kerohanian dan moral yang tinggi." Pelbagai pendekatan dan usaha dilaksanakan kerajaan bagi memastikan hasrat dan cita-cita murni ini dicapai.

Pelancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) jelas memeperlihatkan kesungguhan kerajaan memastikan cabaran untuk melahirkan masyarakat yang hidup berlandaskan nilai kerohanian dan etika yang tinggi, dapat dicapai sepenuhnya. " Melentur buluh biarlah dari rebungnya" adalah pepatah yang boleh dijadikan pendekatan untuk melahirkan generasi muda berpegang teguh kepada integriti dan membenci rasuah. Satu langkah berkesan yang dapat memastikan usaha ini dicapai ialah menerusi penerapan elemen nilai murni dan etika di peringkat sekolah. Anak diibaratkan kain putih. Kitalah yang dapat mencorakkannya mengikut kehendak dan matlamat diinginkan. Masa depan kita ditentukan oleh budaya dan ilmu yang diterapkan kepada generasi muda hari ini. Melihat kepada dasar semasa kerajaan dan kepentingan pendidikan pencegahan rasuah di peringkat sekolah, BPR dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, sudah merangka beberapa langkah penting untuk menggerakkan pengamalan nilai murni dan pendidikan pencegahan rasuah kepada generasi muda, khususnya pelajar.

Langkah pertama dianjurkan Kementerian Pelajaran ialah memperkenalkan dasar penerapan elemen pendidikan pencegahan rasuah dalam kurikulum di peringkat menengah dan institusi pengajian tinggi iaitu memasukkan elemen berkenaan dalam mata pelajaran Pendidikan Moral, Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam. Sehubungan itu, BPR dengan Kerjasama Kementerian Pelajaran telah mengadakan beberapa siri bengkel dan seminar pendidikan pencegahan rasuah kepada pengurusan sekolah dan guru bagi menerapkan pendidikkan pencegahan rasuah di kalangan pelajar. Langkah pertama dianjurkan Kementerian Pelajaran ialah memperkenalkan dasar menerapkan elemen pendidikan pencegahan rasuah dalam kurikulum di peringkat menengah dan institusi pengajian tinggi iaitu memasukkan eleman berkenaan dalam mata pelajaran Pendidikan Moral, Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam. Sehubungan itu, BPR dengan kerjasama Kementerian Pelajaran telah mengadakan beberapa siri bengkel dan seminar pendidikan pencegahan rasuah kepada pengurusan sekolah dan guru bagi menerapkan pendidikan pencegahan rasuah dikalangan pelajar.

Bermula 2002, seramai 969 guru kaunseling sekolah menengah dari seluruh negara dipilih mengikuti Seminar Peranan Kaunselor Dalam Pendidikan Pencegahan Rasuah di Peringkat Sekolah. Selain guru kaunselor, pentadbir sekolah terdiri daripada pengetua dan guru besar turut mengikuti seminar berkenaan. Pada 2003, 340 pengetua kanan dipilih mengikuti seminar yang sama, manakala 500 pengetua dan guru besar mengikuti program berkenaan tahun lalu.

Antara rumusan yang dihasilkan dalam seminar berkenaan ialah pengurus sekolah hendaklah:

* Memahami dan mengamalkan konsep pengurusan integriti dalam organisasi.

* Memainkan peranan penting dalam mendidik generasi muda menerusi kurikulum, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan supaya mereka membenci rasuah.

* Bertindak sebagai pengurus kewangan bertanggungjawab ke atas segala peraturan dan tatacara kewangan sekolah.

* Memastikan peraturan perolehan dipatuhi sebelum membuat pengesahan kewangan.

*Memperkayakan maklumat dan mempertingkatkan kemahiran kepimpinan untuk mewujudkan sekolah cemerlang.

* Bertanggungjawab memperkukuhkan organisasi dengan membentuk suasana kerja kondusif bagi mengatasi budaya kerja yang negatif. Kempen pendidikan pencegahan rasuah diperingkat sekolah ini diteruskan pada 2004 menerusi Bengkel Penerapan Elemen Antirasuah Dalam Pendidikan Sekolah yang dianjurkan Bahagaian Pendidikan Masyarakat SPRM dan Pusat Perkembangan Kukurikulum, Kementerian Pelajaran. Seramai 382 guru yang terdiri daripasda jemaah Nazir Sekolah, pensyarah maktab perguruan, pegawai Jabatan Pelajaran negeri dan guru pakar Pendidikan Moral, telah mengikutinya. Secara keseluruhannya, maklum balas peserta amat memberangsangkan dan rata-rata menyatakan bahawa program berkenaan dapat memberi faedah dari aspek:

* Meningkatkan kefahaman, pengetahuan dan kesedaran guru berhubung kesalahan rasuah dari segi teori dan praktikal.

* Menyediakan ruang dan peluang untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan berhubung tatacara menerapkan elemen antirasuah dalam kurikulum pendidikan.

* Memberi peluang guru bertanyakan soalan, permasalahan dan kemusykilan berhubung kesalahan rasuah dan mendapat maklumat tepat daripada pegawai BPR.

* Forum untuk menjalinkan hubungan silaturrahim antara pendidik dengan pegawai BPR serta saling bertukar maklumat.

* Memberikan keyakinan kepada guru untuk menyampaikan maklumat berhubung kesalahan rasuah kepada pelajar.

* Memperolehi bahan rujukan dan risalah bercetak sebagai maklumat tambahan dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Langkah mengadakan kempen ini adalah tindakan serius BPR dan Kementerian Pelajaran untuk memastikan generasi muda dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kesedaran mengenai bahaya rasuah terhadap diri, keluarga dan negara. -


#BERSAMA MAHASISWA MEMBASMI RASUAH#

Jul 25, 2009

Pimpinan SPR UPSI Sertai Kursus

Dua orang wakil daripada Majlis Tertinggi SPR UPSI iaitu Saudara Khairul Faiz Nordin dan Saudari Saripah Dora Ismail telah menyertai kursus yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (PenMas SPRM) di Hotel Allson Klana Putra Nilai, Negeri Sembilan pada cuti semester baru-baru ini.

Berikut dipaparkan beberapa gambar yang sempat dirakamkan sempena kursus tersebut. Semoga kursus ini memberikan semaksimum mungkin manfaat kepada SPR UPSI dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Bergambar kenangan bersama Pesuruhjaya SPRM, PMG. Pj. Dato' Hj Zakaria Hj Jaffar.


Bersama En Mohd Faizi Othman (Penyelaras SPR UPSI) dan Pegawai SPRM (Perak).


Sesi Perbincangan bersama Dato' Hj Zakaria Hj Jaffar.

#BERSAMA MAHASISWA MEMBASMI RASUAH#

Jul 14, 2009

PENDIDIKAN MASYARAKAT 3: Mengenai Hadiah

PERSOALAN MENGENAI HADIAH

Antara persoalan yang sentiasa mengelirukan masyarakat terutamanya penjawat awam dalam menghadapi isu rasuah adalah berkaitan dengan hadiah. Kes sebegini berlaku apabila ada dalam kalangan kita sendiri yang masih keliru memahami konsep hadiah dan rasuah dalam situasi-situasi tertentu. Maka tercetuslah soalan dalam keadaan tersebut sama ada itu adalah hadiah atau pun rasuah?

Untuk entri kali ini, disertakan link sebagai mana di bawah bagi membantu pembaca sekalian memahami isu ini berdasarkan kepada soal jawab bersama pegawai SPRM. Semoga bermanfaat!


SILA KLIK PADA GAMBAR DI ATAS UNTUK KE SOAL JAWAB


Untuk pertanyaan selanjutnya atau ingin mengemukakan soalan berkaitan isu hadiah ini, sila klik pada ikon di bawah untuk mengisi borang sebelum dijawab oleh pegawai SPRM bertugas. Atau melalui Sistem Mesej Singkat (SMS) ke 019 - 6000103 / 019 - 6000104




#BERSAMA MAHASISWA MEMBASMI RASUAH#


Jul 12, 2009

PENDIDIKAN MASYARAKAT 2: Kesalahan Rasuah

KESALAHAN RASUAH

Bagaimanakah yang dikatakan kesalahan rasuah dalam keadaan yang tertentu. Entri di bawah memberikan penerangan kepada anda:

Meminta/Menerima Rasuah.
Mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta/menerima/ bersetuju menerima suapan rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal/majikan berkenaan.

Menawar/Memberi Rasuah.
Mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta/menerima/ bersetuju menerima suapan rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal/majikan berkenaan.

Membuat Tuntutan Palsu.
Mana-mana orang memberi kepada ejen , atau ejen memberi kepada prinsipal/majikannya, suatu dokumen yang diketahuinya atau disedarinya mengandungi butir matan palsu, yang mana prinsipal / majikannya mempunyai kepentingan, dengan tujuan untuk mengeliru/memperdayakan prinsipal/majikannya.

Menyalah guna Jawatan/Kedudukan.
Mana-mana pegawai badan awam menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapat suapan membuat apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berhubungan dengan apa-apa perkara mengenainya, di mana pegawai itu, saudara maranya atau sekutu- nya ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung.


#BERSAMA MAHASISWA MEMBASMI RASUAH#

Apr 17, 2009

PENDIDIKAN MASYARAKAT 1 : Apa Itu Rasuah

Apakah yang dimaksudkan dengan rasuah mengikut undang-undang negara?

Apakah tanggungjawab dan peranan kita dalam menghadapi 'barah masyarakat yang tidak mengenali siapa' ini daripada terus berlaku?

Membuat aduan? Bagaimanakah caranya?

Link-link (PDF File) di bawah dapat membantu anda. Semoga bermanfaat.

1. APA ITU RASUAH
2. PERANAN KITA
3. CARA MEMBUAT ADUAN

#BERSAMA MAHASISWA MEMBASMI RASUAH#


Apr 10, 2009

HUTANG PUNCA PENJAWAT AWAM AMAL RASUAH

Sumber : Berita Harian, 18 Mac

LAPORAN Pelan Integriti Nasional - Penilaian dan Hala Tuju (Tekad 2008) yang diumumkan semalam mendedahkan hampir 74 peratus kakitangan awam yang cenderung menerima suapan berpunca daripada terlalu banyak beban hutang dan gagal mengawal perasaan kerana mempunyai lebih ruang serta peluang melakukannya. Laporan itu juga menyatakan amalan rasuah berleluasa di kalangan penjawat awam kerana ramai masih keliru dengan skop perbuatan yang dianggap rasuah atau sebaliknya.


Kajian persepsi awam terhadap rasuah yang dilakukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati agensi penguat kuasa undang-undang kekal sebagai golongan yang paling terdedah kepada risiko rasuah termasuk polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Kira-kira 70 peratus gejala rasuah dalam perkhidmatan awam membabitkan 10 jabatan kerajaan, terutama agensi penguatkuasaan dan agensi kerajaan yang mempunyai keanggotaan besar.

Dalam konteks perundangan, kajian antara 2007 hingga 2008 itu mendapati masih ada anggota perkhidmatan awam kurang jelas mengenai penakrifan rasuah seperti penerimaan hadiah dan percanggahan kepentingan. Walaupun Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 membawa banyak pembaharuan berbanding Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang dimansuhkan, tidak ada penakrifan khusus mengenai istilah rasuah, sebaliknya hanya membuat takrifan mengenai ‘suapan’.

Sehubungan itu, Laporan Tekad mengesyorkan program kesedaran mengenai rasuah, terutama amalan yang boleh ditakrifkan sebagai rasuah perlu diperhebatkan untuk penjawat awam dan orang awam supaya tidak timbul kekeliruan mengenai apa yang dibolehkan dan yang dilarang.Pada masa sama, IIM, menerusi Pelan Integriti Nasional (PIN), berusaha mengurangkan gejala rasuah dengan sasaran menaikkan 5.2 mata Persepsi Indeks Rasuah (CPI) yang ditetapkan pada 2003 kepada 6.5 mata menjelang 2008. Sejak lima tahun PIN dilancarkan, pelbagai pendekatan serta usaha dilakukan bagi membanteras rasuah tetapi negara hanya memperoleh 5.1 mata bagi 2007 dan 2008 berbanding mata tertinggi 5.32 pada 1994 dan terendah 4.8 pada 2000.

Rasuah juga mengakibatkan pengaliran keluar modal kerana kebanyakan perolehan haram ini disimpan di bank pesisir pantai, manakala kajian Suruhanjaya Eropah mendapati antara 10 hingga 20 peratus kenaikan harga barang berpunca daripada rasuah.

Justeru, laporan itu turut menekankan kepentingan umum diberi penjelasan mengenai pelbagai bentuk rasuah, bukan saja yang membabitkan pertukaran wang antara dua pihak tetapi merangkumi penyelewengan, salah guna kuasa dan pemalsuan.

#BERSAMA MAHASISWA MEMBASMI RASUAH#

Apr 7, 2009

GEJALA RASUAH DAN KESANNYA


Oleh: Norhafifi Yahya

Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperoleh apa-apa yang dikehendakinya itu. Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri dan bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya.

Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab “al-risywah”. Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Di negara ini, dari segi undang-undang semua perkataan “ memberi dan menerima suapan” adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah.

Biasanya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Kebiasaannya orang yang melakukan budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka. Sebagai umat Islam, keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT harus dititikberatkan dalam apa juga urusan. Islam sangat melarang umatnya daripada mengamalkan budaya ini. Seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah RA. ia telah berkata: “Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang suka memberi rasuah dan orang yang suka menerima rasuah dalam soal hukum- menghukum”.

Perbuatan rasuah ini adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa. Mereka yang terjebak dalam budaya rasuah akan memperoleh balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka ini. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

“ Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”.


Allah telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya”. (al-Baqarah : 188)

PANDANGAN ISLAM MENGENAI RASUAH

Budaya rasuah ini sebenarnya telah dahulu disedari oleh Islam dan cara yang terbaik bagi mengatasi dan mengawal budaya ini telah disediakan. Langkah pertama yang tegas telah diutarakan oleh Islam iaitu terhadap mengharamkan secara berkesan tanpa bertolak ansur dengan rasuah, seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud :

“ Penerima dan pemberi rasuah akan ditempat dalam api neraka”.

Perbuatan ini juga dikutuk dengan kerasnya oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud :

“Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”.

Berdasarkan dalil-dalil diatas jelas membuktikan Islam melarang perbuatan keji ini. Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah pemberi dan sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah ini.

PUNCA BERLAKUNYA RASUAH

Antara punca berlakunya rasuah ialah :

a) Kelemahan peribadi seperti kurang iman dan takwa. Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga dengan seribu satu alasan peribadi. Hal ini termasuk dalam teori “Technique of Neutralization” oleh Grisham Sykes dan David Matza. Mereka mengatakan, “ Lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada siapa yang tahu”. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.

b) Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.

c) Sosial dan budaya. Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.

d) Modenisasi. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang terlibat juga mengambil kesempatan untuk mengaut untung sebanyak-banyaknya. Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat menyiapkan projek dan sebagainya.

e) Politik. Sesetengah ahli politik menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada masyarakat dengan menerima dan memberi rasuah untuk mendapatkan kuasa, memenangi pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan, menagih populariti dan sebagainya.

KESAN-KESAN RASUAH

Perbincangan mengenai rasuah adalah penting kerana kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan rasuah, tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk masa depan. Kemajuan sesebuah negara bergantung kepada cerdik pandai dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai negara kita.

Selain itu pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah.

Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya , ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara. seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.


LANGKAH-LANGKAH MENCEGAH RASUAH

Antara langkah mencegah rasuah adalah seperti berikut :

1.Memantapkan Iman Dan Mengukuhkan JAtidiri

Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk membenteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin,peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan rasuah dapat diatasi. Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa tang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata.


2. Mamasukkan bahaya rasuah dalam sistem pendidikan

-Benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan dididik sejak zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik benci rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah, ikhlas. Sistem pendidikan hanya membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah.


3. Meningkatkan Penguatkuasaan Undang-Undang dan Hukuman

Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibenteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu para pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima.

4.Memudahkan urusan menggunakan ICT

-Prosedur diproses yang panjang, sukar dan lambat perlu diperkemaskan dan dipermudahkan dengan menggunakan kelebihan ICT. Penggunaan borang, proses temu duga dan seumpamanya perlu diringkaskan supaya tidak membebankan orang ramai khususnya para peniaga, kontraktor dan pelabur. Proses yang mudah dan telus dapat menghindari bahaya rasuah kerana tidak perlu disogok semata-mata untuk mempercepatkan proses.

Apr 3, 2009

FORUM PERDANA 'ITUKAH AKU?' [LAPORAN]


Sebagai pengisian kepada Pesta Konvokesyen UPSI yang diadakan pada bulan Mac yang lalu, pihak SSPR UPSI telah diamanahkan untuk menganjurkan satu slot Forum Perdana Ehwal Islam yang telah berjaya dilaksanakan.

Forum Perdana yang bertajuk 'Itukah Aku?' itu telah berlangsung pada 19 Mac 2009 bermula 9.00 malam bertempat di Padang UPSI. Antara panel yang diundang khas pada malam itu ialah Pemangku Pesuruhjaya SPRM Malaysia Dato Hj. Zakaria Hj Jaffar, Ustaz Harith Fadzilah Hj Abdul Halim Ketua Penolog Pengarah (Dakwah) Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Ustaz Fathul BAri Dato Hj Mat Jahya Yg DiPertua Pertubuhan Kebajikan al-Qalam Negeri Perlis. Manakala Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UPSI Ustaz Anhar Opir diamanahkan selaku Moderator.

Forum yang berlangsung selama lebih kurang dua jam itu diserikan lagi dengan kehadiran tetamu jemputan iaitu Prof Dato' Dr Aminah Ayob (Naib Canselor UPSI), Prof. Dr Mustamam Abdul Karim (TNC Penyelidikan & Inovasi), En Faizi Othman (Timb. Pendaftar Kanan Jan. HEPA) dan Puan Azah Abdul Latiff (Timb Pendaftar Kanan Akademik).

Forum yang membicarakan tentang rasuah, undang-undang, punca dan kesannya itu berlangsung dengan lancar dengan pembentangan isi dan hujah yang baik lagi menarik dari ketiga-tiga orang panel serta serta kepakaran Moderator mengajukan soalan. Forum tersebut disudahi dengan sesi soal jawab dan penyampaian cenderahati kepada panel dan moderator yang disempurnakan oleh Prof. Dato' Dr Aminah Ayob.

Semoga forum ini dijadikan satu medan penting kepada anjakan paradigma nilai dan sikap integriti ke tahap yang paling maksimum.

"Rasulullah s.a.w melaknat pemberi rasuah, penerima dan pengantara yang menjadi penghubung antara keduanya" [Riwayat Tirmizi]
















LAWATAN MUHIBAH SSPR USM

Pada 22 Februari 2009, satu lawatan muhibah oleh SSPR UPSI ke SSPR USM telah diadakan. Lawatan yang bertujuan untuk mengadakan diskusi percambahan idea antara dua pihak (SSPR UPSI dan SSPR USM) ini diketuai oleh Saudara Mohd Safaruddin Abu Bakar selaku Pengerusi SSPR UPSI bersama Setiausaha SSPR UPSI, Saudari Saripda Dora Ismail bersama exco-exco yang lain.


Antara aktiviti utama yang menjadi pengisian kepada lawatan ini ialah sesi diskusi yang membincangkan idea-idea terkini bagi mengisi ruang aktiviti yang telah, sedang dan akan dianjurkan oleh pihak SSPR di UPSI dan USM selain mengeratkan hubungan antara dua buah sekretariat yang bernaung di bawah satu suruhanjaya yang sama diu peringkat kebangsaan.


Diharapkan lawatan ini dapat memberikan semaksimum mungkin manfaat, faedah serta kebaikan kepada kedua-dua belah pihak bagi mencapai amanah dan tanggungjawaba yang digalas sebagai Sekretariat Suruhanjya Pencegahan Rasuah di universiti masing-masing.




Wakil SSPR USM memberikan ulasan

Setiausaha SSPR UPSI memberikan pandangan

Pengerusi SSPR UPSI selaku ketua lawatan

Perbincangan dua hala SSPR UPSI - SSPR USM

Mar 12, 2009

FORUM PERDANA 'ITUKAH AKU?'

SSPR UPSI dengan kerjasama Sekretariat Pesta Konvokesyen UPSI akan menganjurkan satu FORUM PERDANA EHWAL ISLAM bersempena dengan Pesta Konvokesyen UPSI sebagai mana butiran berikut:

TARIKH : 19 MAC 2009 / 22 RABIUL AWWAL 1430
TEMPAT : PADANG UPSI
MASA : 09.00 MALAM
TAJUK : "ITUKAH AKU?"

PANEL:

1) YBHG. DATO' HJ. ZAKARIA HJ JAFFAR
PESURUHJAYA
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)
PUTRAJAYA

2) YBHG. USTAZ HARITH FADZILAH HJ ABDUL HALIM
KETUA PENOLONG PENGARAH
BAHAGIAN DAKWAH
JABATAN AGAMA ISLAM PERAK (JAIPk)

3) YBHG. USTAZ FATHUL BARI MAT JAHYA
YANG DIPERTUA
PERTUBUHAN KEBAJIKAN AL-QALAM
NEGERI PERLIS


MODERATOR : YBHG. USTAZ ANHAR BIN OPIR (UPSI)


'Allah mengangkat mereka yang beriman dan mereka yang menuntut ilmu dengan beberapa darjat' [al-Mujaadalah: 11]

#BERSAMA MAHASISWA MEMBASMI RASUAH#

KUNJUNGAN HORMAT KE SPRM PERAK

Pada 6 Februari 2009, telah diadakan satu Kunjungan Hormat ke Pejabat SPRM Negeri Perak yang terletak di Jalan Raja Musa Aziz, Ipoh. Kunjungan tersebut diketuai oleh Encik Mohd Faizi Othman selaku Penyelaras SSPR UPSI bersama En Mohd Shuhir Karmawi Abdul Aziz, Mohd Safaruddin Abu Bakar (Pengerusi SSPR UPSI) bersama MT dan juga exco-exco SSPR UPSI yang lain.

Pengisian utama Kunjungan Hormat ini ialah taklimat daripada Pengarah SPRM Perak dan juga perbincangan dua hala antara SSPR UPSI dan SPRM Perak yang membincangkan beberapa perkara berbangkit.

Kunjungan hampir tiga jam itu diakhiri dengan pertukaran cenderahati antara kedua-kedua pihak dan sedikit jamuan. Delegasi SSPR UPSI bertolak pulang ke Tanjung Malim pada pukul 6.00 petang.

Aluan oleh Tuan Pengarah SPRM Perak

En Faizi Othman (paling kanan), En Shuhir Karmawi (tiga dari kanan) dan Mohd Safaruddin (Pengerusi SSPR UPSI)

Pengerusi SSPR UPSI memberikan ulasan


Pertukaran cenderahati antara Penyelaras SSPR UPSI dengan Pengarah SPRM Perak

Pertukaran cenderahati antara Penyelaras SPR UPSI dan Pengarah SPRM Perak

Makan petang sebagai penutup program

Gambar kenangan UPSI -- SPRM Perak

#BERSAMA MAHASISWA MEMBASMI RASUAH#

Feb 19, 2009

STRUKTUR ORGANISASI SSPR UPSI




STRUKTUR ORGANISASI SEKRETARIAT SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

PENASIHAT
PROF. DR. SHAHARUDIN BIN ABDUL AZIZ
TIMBALAN NAIB CANSELOR HAL EHWAL PELAJAR DAN ALUMNI

PENYELARAS
EN. MOHD FAIZI BIN OTHMAN
TIMBALAN PENDAFTAR KANAN
JABATAN HAL EHWAL PELAJAR DAN ALUMNI

PENGERUSI
MOHD SAFARUDDIN BIN ABU BAKAR

TIMBALAN PENGERUSI
KHAIRUL FAIZ BIN MOHD NORDIN

SETIAUSAHA
SARIPAH DORA BINTI ISMAIL

PENOLONG SETIAUSAHA
NOOR SA’ADAH BINTI HAJI JAILANI

BIRO CERAMAH
NURUL FATIHAH BINTI NOR AZHAR

BIRO PAMERAN
ENGKU MOHD FAKHRUDIN

BIRO SEMINAR, FORUM DAN BENGKEL
MOHD NURHAKIM BIN ABD RAHMAN

BIRO PEMENTASAN BERMESEJ
NUR EMILLIDA BINTI YUSOFF

BIRO RAKAN MUDA
MOHD HAFIZ BIN KAMARUDDIN

BIRO PIDATO DAN DEBAT
MUNIRAH BINTI AB WAHAB

BIRO GERAK MESRA MASYARAKAT
MOHD RIDZWAN MOHD ALI

BIRO AKTIVITI KEAGAMAAN
NIK MUHD THAQIF NIK IBRAHIM

#BERSAMA MAHASISWA MEMBASMI RASUAH#

Feb 12, 2009

PENGENALAN SSPR UPSI

1.0 PENDAHULUAN

Pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris merupakan satu komuniti yang harus diberi perhatian yang serius di dalam semua aspek, bukan sahaja aspek akademik bahkan juga nilai-nilai murni. Ini adalah kerana mereka merupakan aset penting kepada pembangunan dan hala tuju negara di masa hadapan.

Untuk mencapai hasrat ini, Sekretariat Pencegahan Rasuah UPSI mengambil tanggungjawab untuk menerapkan nilai anti rasuah kepada warga UPSI sejajar dengan cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu “ membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunggangi oleh budi pekerti yang luhur ”.

Oleh yang demikian, warga Universiti Pendidikan Sultan Idris perlu di beri pendidikan, pendedahan dan pengetahuan berkenaan pencegahan rasuah bagi menyedarkan mereka tentang tanggungjawab sosial yang harus dipikul oleh semua pihak bagi menjamin satu bentuk masyarakat yang boleh mendokong wadah dan perjuangan negara di masa hadapan.

2.0 LATAR BELAKANG

Sekretariat Pencegahan Rasuah Universiti Pendidikan Sultan Idris ditubuhkan di bawah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas), Badan Pencegah Rasuah Malaysia dengan tujuan untuk mendidik warga UPSI menentang amalan rasuah serta mendapatkan dan memelihara sokongan dalam memerangai amalan rasuah.

Usaha-usaha penerapan anti rasuah melalui program kokurikulum di Universiti Pendidikan Sultan Idris amat penting dan dipandang serius sebagai langkah untuk melahirkan generasi yang berintegriti dan bermoral serta melahirkan masyarakat yang bebas jenayah rasuah di masa hadapan.

3.0 TUJUAN

Kertas konsep ini disediakan adalah bertujuan untuk menjelaskan tentang penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai sebuah persatuan yang berdaftar di UPSI.

4.0 VISI

Mewujudkan warga Universiti Pendidikan Sultan Idris bebas daripada jenayah rasuah berlandaskan nilai-nilai kerohanian dan moral yang tinggi.

5.0 MISI

Menghapuskan jenayah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

6.0 OBJEKTIF SEKRETARIAT

6.1 Menerapkan nilai anti rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di kalangan warga UPSI.

6.2 Mendedahkan warga UPSI kepada program-program pencegahan rasuah.

6.3 Menjadikan warga UPSI sebagai penyampai mesej anti rasuah kepada masyarakat di dalam kampus dan luar kampus.

6.4 Meningkatkan kesedaran dan penghayatan terhadap nilai-nilai integriti semasa menjalankan tugas.

6.5 Mendidik dan mendedahkan warga UPSI kepada pelaksanaan program-program kemasyarakatan.

6.6 Mewujudkan pusat rujukan mengenai kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta peranan Badan Pencegah Rasuah di dalam menangani jenayah rasuah.

6.7 Meningkatkan hubungan mesra di antara Badan Pencegah Rasuah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

7.0 PERANAN SEKRETARIAT

Penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah UPSI adalah berkonsep dasar kerjasama yang perlu diwujudkan di antara pihak Badan Pencegah Rasuah dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam aspek berikut:-

7.1.1. Pelaksanaan dan penyertaan dalam program-program pencegahan rasuah oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris. Penyelarasan program dari segi kewangan, kemudahan peralatan dan sebagainya adalah di antara Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Sekretariat Pencegahan Rasuah UPSI dan Badan Pencegah Rasuah.

7.1.2. Penyelarasan hebahan dan publisiti program.

7.1.3. Penyediaan ruang dan kemudahan asas sebagai tempat beroperasi dan pembangunan imej Sekretariat Pencegahan Rasuah UPSI. Ia termasuk hiasan, logo, papan tanda dan sebagainya.

7.1.4. Penyeliaan terus oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI ke atas Sekretariat Pencegahan Rasuah UPSI yang digerakkan oleh para pelajar yang dipilih oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI.

7.1.5. Pemantapan input Sekretariat Pencegahan Rasuah melalui kepakaran-kepakaran golongan akademik UPSI.

Sekretariat Pencegahan Rasuah dapat memainkan peranan berikut:-

7.2.1 Menyelaras urusan yang berkaitan dengan pelaksanaan Sekretariat Pencegahan Rasuah sama ada yang dianjurkan oleh Badan Pencegah Rasuah atau oleh badan-badan pertubuhan pelajar. Ini termasuk penyelarasan bagi mendapatkan penyertaan warga UPSI atau hebahan maklumat program.

7.2.2 Memberikan panduan dan informasi mengenai cara-cara pengendalian program-program pencegahan rasuah dan menyampaikan maklumat – maklumat aktiviti yang dianjurkan.

7.2.3 Menjadi organisasi perantaraan di antara Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Badan Pencegah Rasuah dan warga UPSI di dalam pelaksanaan program-program pencegahan rasuah.

7.2.4 Membuat kemeriahan Sekretariat Pencegahan Rasuah dengan kelengkapan peralatan publisiti seperti banting, logo, pelekat, risalah dan lain-lain bentuk bahan penerbitan.

7.2.5 Sebagai pusat aktiviti masa lapang pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris.


#BERSAMA MAHASISWA MEMBASMI RASUAH#