Apr 17, 2009

PENDIDIKAN MASYARAKAT 1 : Apa Itu Rasuah

Apakah yang dimaksudkan dengan rasuah mengikut undang-undang negara?

Apakah tanggungjawab dan peranan kita dalam menghadapi 'barah masyarakat yang tidak mengenali siapa' ini daripada terus berlaku?

Membuat aduan? Bagaimanakah caranya?

Link-link (PDF File) di bawah dapat membantu anda. Semoga bermanfaat.

1. APA ITU RASUAH
2. PERANAN KITA
3. CARA MEMBUAT ADUAN

#BERSAMA MAHASISWA MEMBASMI RASUAH#


Apr 10, 2009

HUTANG PUNCA PENJAWAT AWAM AMAL RASUAH

Sumber : Berita Harian, 18 Mac

LAPORAN Pelan Integriti Nasional - Penilaian dan Hala Tuju (Tekad 2008) yang diumumkan semalam mendedahkan hampir 74 peratus kakitangan awam yang cenderung menerima suapan berpunca daripada terlalu banyak beban hutang dan gagal mengawal perasaan kerana mempunyai lebih ruang serta peluang melakukannya. Laporan itu juga menyatakan amalan rasuah berleluasa di kalangan penjawat awam kerana ramai masih keliru dengan skop perbuatan yang dianggap rasuah atau sebaliknya.


Kajian persepsi awam terhadap rasuah yang dilakukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati agensi penguat kuasa undang-undang kekal sebagai golongan yang paling terdedah kepada risiko rasuah termasuk polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Kira-kira 70 peratus gejala rasuah dalam perkhidmatan awam membabitkan 10 jabatan kerajaan, terutama agensi penguatkuasaan dan agensi kerajaan yang mempunyai keanggotaan besar.

Dalam konteks perundangan, kajian antara 2007 hingga 2008 itu mendapati masih ada anggota perkhidmatan awam kurang jelas mengenai penakrifan rasuah seperti penerimaan hadiah dan percanggahan kepentingan. Walaupun Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 membawa banyak pembaharuan berbanding Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang dimansuhkan, tidak ada penakrifan khusus mengenai istilah rasuah, sebaliknya hanya membuat takrifan mengenai ‘suapan’.

Sehubungan itu, Laporan Tekad mengesyorkan program kesedaran mengenai rasuah, terutama amalan yang boleh ditakrifkan sebagai rasuah perlu diperhebatkan untuk penjawat awam dan orang awam supaya tidak timbul kekeliruan mengenai apa yang dibolehkan dan yang dilarang.Pada masa sama, IIM, menerusi Pelan Integriti Nasional (PIN), berusaha mengurangkan gejala rasuah dengan sasaran menaikkan 5.2 mata Persepsi Indeks Rasuah (CPI) yang ditetapkan pada 2003 kepada 6.5 mata menjelang 2008. Sejak lima tahun PIN dilancarkan, pelbagai pendekatan serta usaha dilakukan bagi membanteras rasuah tetapi negara hanya memperoleh 5.1 mata bagi 2007 dan 2008 berbanding mata tertinggi 5.32 pada 1994 dan terendah 4.8 pada 2000.

Rasuah juga mengakibatkan pengaliran keluar modal kerana kebanyakan perolehan haram ini disimpan di bank pesisir pantai, manakala kajian Suruhanjaya Eropah mendapati antara 10 hingga 20 peratus kenaikan harga barang berpunca daripada rasuah.

Justeru, laporan itu turut menekankan kepentingan umum diberi penjelasan mengenai pelbagai bentuk rasuah, bukan saja yang membabitkan pertukaran wang antara dua pihak tetapi merangkumi penyelewengan, salah guna kuasa dan pemalsuan.

#BERSAMA MAHASISWA MEMBASMI RASUAH#

Apr 7, 2009

GEJALA RASUAH DAN KESANNYA


Oleh: Norhafifi Yahya

Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperoleh apa-apa yang dikehendakinya itu. Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri dan bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya.

Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab “al-risywah”. Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Di negara ini, dari segi undang-undang semua perkataan “ memberi dan menerima suapan” adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah.

Biasanya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Kebiasaannya orang yang melakukan budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka. Sebagai umat Islam, keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT harus dititikberatkan dalam apa juga urusan. Islam sangat melarang umatnya daripada mengamalkan budaya ini. Seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah RA. ia telah berkata: “Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang suka memberi rasuah dan orang yang suka menerima rasuah dalam soal hukum- menghukum”.

Perbuatan rasuah ini adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa. Mereka yang terjebak dalam budaya rasuah akan memperoleh balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka ini. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

“ Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”.


Allah telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya”. (al-Baqarah : 188)

PANDANGAN ISLAM MENGENAI RASUAH

Budaya rasuah ini sebenarnya telah dahulu disedari oleh Islam dan cara yang terbaik bagi mengatasi dan mengawal budaya ini telah disediakan. Langkah pertama yang tegas telah diutarakan oleh Islam iaitu terhadap mengharamkan secara berkesan tanpa bertolak ansur dengan rasuah, seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud :

“ Penerima dan pemberi rasuah akan ditempat dalam api neraka”.

Perbuatan ini juga dikutuk dengan kerasnya oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud :

“Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”.

Berdasarkan dalil-dalil diatas jelas membuktikan Islam melarang perbuatan keji ini. Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah pemberi dan sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah ini.

PUNCA BERLAKUNYA RASUAH

Antara punca berlakunya rasuah ialah :

a) Kelemahan peribadi seperti kurang iman dan takwa. Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga dengan seribu satu alasan peribadi. Hal ini termasuk dalam teori “Technique of Neutralization” oleh Grisham Sykes dan David Matza. Mereka mengatakan, “ Lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada siapa yang tahu”. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.

b) Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.

c) Sosial dan budaya. Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.

d) Modenisasi. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang terlibat juga mengambil kesempatan untuk mengaut untung sebanyak-banyaknya. Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat menyiapkan projek dan sebagainya.

e) Politik. Sesetengah ahli politik menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada masyarakat dengan menerima dan memberi rasuah untuk mendapatkan kuasa, memenangi pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan, menagih populariti dan sebagainya.

KESAN-KESAN RASUAH

Perbincangan mengenai rasuah adalah penting kerana kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan rasuah, tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk masa depan. Kemajuan sesebuah negara bergantung kepada cerdik pandai dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai negara kita.

Selain itu pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah.

Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya , ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara. seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.


LANGKAH-LANGKAH MENCEGAH RASUAH

Antara langkah mencegah rasuah adalah seperti berikut :

1.Memantapkan Iman Dan Mengukuhkan JAtidiri

Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk membenteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin,peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan rasuah dapat diatasi. Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa tang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata.


2. Mamasukkan bahaya rasuah dalam sistem pendidikan

-Benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan dididik sejak zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik benci rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah, ikhlas. Sistem pendidikan hanya membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah.


3. Meningkatkan Penguatkuasaan Undang-Undang dan Hukuman

Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibenteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu para pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima.

4.Memudahkan urusan menggunakan ICT

-Prosedur diproses yang panjang, sukar dan lambat perlu diperkemaskan dan dipermudahkan dengan menggunakan kelebihan ICT. Penggunaan borang, proses temu duga dan seumpamanya perlu diringkaskan supaya tidak membebankan orang ramai khususnya para peniaga, kontraktor dan pelabur. Proses yang mudah dan telus dapat menghindari bahaya rasuah kerana tidak perlu disogok semata-mata untuk mempercepatkan proses.

Apr 3, 2009

FORUM PERDANA 'ITUKAH AKU?' [LAPORAN]


Sebagai pengisian kepada Pesta Konvokesyen UPSI yang diadakan pada bulan Mac yang lalu, pihak SSPR UPSI telah diamanahkan untuk menganjurkan satu slot Forum Perdana Ehwal Islam yang telah berjaya dilaksanakan.

Forum Perdana yang bertajuk 'Itukah Aku?' itu telah berlangsung pada 19 Mac 2009 bermula 9.00 malam bertempat di Padang UPSI. Antara panel yang diundang khas pada malam itu ialah Pemangku Pesuruhjaya SPRM Malaysia Dato Hj. Zakaria Hj Jaffar, Ustaz Harith Fadzilah Hj Abdul Halim Ketua Penolog Pengarah (Dakwah) Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Ustaz Fathul BAri Dato Hj Mat Jahya Yg DiPertua Pertubuhan Kebajikan al-Qalam Negeri Perlis. Manakala Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UPSI Ustaz Anhar Opir diamanahkan selaku Moderator.

Forum yang berlangsung selama lebih kurang dua jam itu diserikan lagi dengan kehadiran tetamu jemputan iaitu Prof Dato' Dr Aminah Ayob (Naib Canselor UPSI), Prof. Dr Mustamam Abdul Karim (TNC Penyelidikan & Inovasi), En Faizi Othman (Timb. Pendaftar Kanan Jan. HEPA) dan Puan Azah Abdul Latiff (Timb Pendaftar Kanan Akademik).

Forum yang membicarakan tentang rasuah, undang-undang, punca dan kesannya itu berlangsung dengan lancar dengan pembentangan isi dan hujah yang baik lagi menarik dari ketiga-tiga orang panel serta serta kepakaran Moderator mengajukan soalan. Forum tersebut disudahi dengan sesi soal jawab dan penyampaian cenderahati kepada panel dan moderator yang disempurnakan oleh Prof. Dato' Dr Aminah Ayob.

Semoga forum ini dijadikan satu medan penting kepada anjakan paradigma nilai dan sikap integriti ke tahap yang paling maksimum.

"Rasulullah s.a.w melaknat pemberi rasuah, penerima dan pengantara yang menjadi penghubung antara keduanya" [Riwayat Tirmizi]
















LAWATAN MUHIBAH SSPR USM

Pada 22 Februari 2009, satu lawatan muhibah oleh SSPR UPSI ke SSPR USM telah diadakan. Lawatan yang bertujuan untuk mengadakan diskusi percambahan idea antara dua pihak (SSPR UPSI dan SSPR USM) ini diketuai oleh Saudara Mohd Safaruddin Abu Bakar selaku Pengerusi SSPR UPSI bersama Setiausaha SSPR UPSI, Saudari Saripda Dora Ismail bersama exco-exco yang lain.


Antara aktiviti utama yang menjadi pengisian kepada lawatan ini ialah sesi diskusi yang membincangkan idea-idea terkini bagi mengisi ruang aktiviti yang telah, sedang dan akan dianjurkan oleh pihak SSPR di UPSI dan USM selain mengeratkan hubungan antara dua buah sekretariat yang bernaung di bawah satu suruhanjaya yang sama diu peringkat kebangsaan.


Diharapkan lawatan ini dapat memberikan semaksimum mungkin manfaat, faedah serta kebaikan kepada kedua-dua belah pihak bagi mencapai amanah dan tanggungjawaba yang digalas sebagai Sekretariat Suruhanjya Pencegahan Rasuah di universiti masing-masing.




Wakil SSPR USM memberikan ulasan

Setiausaha SSPR UPSI memberikan pandangan

Pengerusi SSPR UPSI selaku ketua lawatan

Perbincangan dua hala SSPR UPSI - SSPR USM