Feb 25, 2010

Perutusan KP SPRM

Perutusan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
15/01/2010

Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh dan selamat sejahtera.

Bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah dan izinnya maka kita dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang tahun 2009 lalu untuk meneruskan usaha-usaha memerangi rasuah di Negara ini. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat tahun baru 2010 dan menyeru agar permulaan tahun baru ini, segenap warga SPRM dapat bersatu padu meningkatkan keazaman dan semangat kerja berpasukan kearah memberikan perkhidmatan yang lebih cekap, berkesan dan professional.

Aspirasi yang telah ditetapkan untuk dicapai sepanjang tahun 2010 ini adalah untuk meningkatkan keyakinan dan memperbaiki persepsi masyarakat Malaysia dan antarabangsa kearah keberkesanan SPRM dalam pencegahan rasuah berasaskan kebebasan, ketelusan dan profesionalisme. Ianya selari dengan N-KRA yang ditetapkan oleh kerajaan. Tiga bidang utama yang menjadi tumpuan SPRM dalam mencapai aspirasi ini adalah penumpuan kepada kes-kes rasuah dalam agensi penguatkuasaan dan badan perundangan, perolehan kerajaan dan rasuah terancang (grand corruption).

Bagi mencapai aspirasi ini, seluruh warga SPRM perlu mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran, mampu berdaya saing serta bertindak sejajar dengan apa jua keadaan di samping perlu flexible, adaptable, responsif dan proaktif. Perubahan sikap ini memerlukan usaha bersepadu samada di peringkat atasan, pertengahan dan juga di peringkat akar umbi. Satu pelan pembangunan sumber manusia dan kerjaya yang sistematik dan terancang bakal diperkenalkan sebagai asas kepada penghasilan tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Sekali lagi saya mengucapkan Selamat tahun baru dan semoga maju jaya.

Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah. Wassalam’ualaikum Warahmatullah.

BERSAMA KITA HAPUSKAN RASUAH

DATO’ HJ. ABU KASSIM BIN MOHAMED
Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

No comments:

Post a Comment